[V] Alvin Chong lebih suka 'steamboat', dah bertahun keluarga tak hidang Yee Sang sempena Tahun Baharu Cina
TERASA tidak lengkap sambutan Tahun Baharu Cina tanpa hidangan Yee Sang yang cukup sinonim dalam perayaan terbesar masyarakat Tionghua itu.
Yee Sang atau juga disebut 'lou sang' merupakan sajian istimewa melambangkan kemakmuran, kekayaan dan nasib baik.
Bagaimanapun, pelakon dan penyanyi Alvin Chong mendedahkan keluarganya tidak mengamalkan hidangan Yee Sang ketika menyambut Tahun Baharu Cina kerana lebih suka menikmati 'steamboat'

"Keluarga saya memang tidak pernah hidangkan Yee Sang ketika menyambut Tahun Baharu Cina.
"Saya sendiri pun tidak suka sangat makan Yee Sang.
"Selalunya Tahun Baharu Cina keluarga saya akan buat steamboat," kata anak jati kelahiran George Town, Pulau Pinang itu.
MENARIK DIBACA: Nampak senang tapi ramai buat silap, ini rahsia telur hancur cara Gordon Ramsay
Tambah pelakon drama Sesaat Lebih itu, steamboat yang dihidangkan sangat 'meriah' dengan pelbagai makanan seperti daging dan sayur-sayuran.
"Dalam steamboat tu kami letak daging, banyak sayur dan tofu.
"Jadi bila nak makan kami cuma panaskan 'hotpot' dan masukkan semua bahan," jelasnya.
Ketika ditanya masakan paling istimewa, Alvin memberitahu sangat menggemari hidangan ikan kukus halia air tangan ibu tercinta.

Ujar lelaki berusia 35 tahun itu, walaupun masakan berasaskan ikan yang dikukus itu kedengaran mudah, namun sebenarnya sajian tersebut agak rumit untuk disediakan.
"Saya paling suka ikan kukus halia yang dimasak ibu.
"Tapi jangan suruh saya buat saya tidak pandai, susah!
"Ikan pun saya tidak kenal, saya cuma tahu makan sahaja," katanya yang akan menyambut Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur sahaja.
