Ramai teruja beli tisu murah, kuantiti banyak! Doktor ingatkan tentang risiko kesihatan
RAMAI pengguna mungkin lebih suka membeli tisu dijual pada harga murah yang banyak dijual dalam talian, apatah lagi jika kuantiti ditawarkan lebih banyak.
Tapi sedarkah anda bahawa tisu berkualiti rendah berpotensi membawa risiko kepada kesihatan sama ada digunakan untuk mengelap bahagian badan atau kegunaan dapur.
Tisu tidak berkualiti mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan kandungan bahan kimia, bahan kitar semula tercemar, habuk kertas dan bahan berbahaya lain.
Amaran itu disuarakan oleh Dr Thanet Amornpitakkul yang lebih dikenali sebagai Mor Bank, menerusi video yang dikongsikan di laman Facebook MorBank Clinic pada 16 November lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, doktor dari Thailand itu mengingatkan pengguna supaya tidak memandang ringan kualiti tisu yang digunakan setiap hari terutama produk dijual pada harga terlalu murah sehingga menimbulkan keraguan terhadap bahan dan proses pembuatannya.

Menurutnya, bahan dan pembuatan dengan kos rendah lebih berpotensi menjejaskan aspek kebersihan serta keselamatan pengguna.
Berikut empat risiko kesihatan yang perlu diberikan perhatian.
1. Bahan pemutih pendarfluor
Menurut Dr Thanet, sesetengah tisu berkualiti rendah mungkin mengandungi bahan pemutih kimia yang digunakan untuk menjadikan kertas kelihatan lebih putih dan bersih.
Penggunaan bahan tersebut menimbulkan kebimbangan sekiranya tisu kerap bersentuhan dengan bahagian muka, mulut atau kulit.
Pendedahan berulang kepada bahan tertentu berpotensi menyebabkan kerengsaan kulit atau tindak balas alahan bergantung kepada jenis bahan dan tahap pendedahan.
2. Penggunaan kertas kitar semula berkualiti rendah
Tisu murah juga berkemungkinan dihasilkan daripada kertas kitar semula yang tidak melalui proses pembersihan dan rawatan kebersihan mencukupi.
Berbeza dengan tisu yang menggunakan pulpa kayu dara, bahan kitar semula yang diproses secara tidak sempurna berpotensi mengandungi bahan cemar, kotoran atau mikroorganisma.
Keadaan ini boleh menimbulkan risiko kebersihan khususnya apabila tisu digunakan untuk mengelap muka atau bahagian tubuh yang sensitif.

3. Habuk kertas dan bakteria
Satu lagi perkara yang dibangkitkan ialah penghasilan habuk kertas serta serat halus secara berlebihan ketika tisu digunakan.
Habuk dan serat tersebut boleh tersebar ke udara sebelum disedut yang berpotensi menyebabkan kerengsaan pada sistem pernafasan.
Dr Thanet turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan pencemaran bakteria sekiranya proses pembuatan termasuk rawatan haba, tidak dilakukan dengan sempurna.
MENARIK DIBACA: Mana satu bagus? Ini 4 jenis susu mengikut 'ranking', dari biasa hingga terbaik
MENARIK DIBACA: Aroma cengkih di rumah cukup menenangkan, tak perlu lagi bakhoor mahal
4. Dioksin dan potensi risiko kanser
Antara kebimbangan paling serius yang diketengahkan ialah kehadiran dioksin, iaitu sekumpulan bahan kimia toksik yang boleh terbentuk melalui proses industri tertentu.
Menurut Dr Thanet, proses pelunturan yang tidak dikawal dengan baik berpotensi menghasilkan bahan berbahaya tersebut.
Pendedahan jangka panjang kepada sesetengah jenis dioksin dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser serta masalah kesihatan lain.
Amaran ini bagaimanapun tidak disertakan hasil ujian makmal yang membuktikan kehadiran dioksin atau tahap pendedahannya dalam mana-mana produk tisu tertentu.
Justeru, pengguna tidak seharusnya menganggap semua tisu murah mengandungi bahan tersebut.