KUALI | Trending

Masak atau beli? Hasil ‘eksperimen’ dua minggu tak sangka rupanya jimat sampai 40 peratus

Lead Image

ADA berpendapat memasak lebih berbaloi untuk mengawal kos dan saiz hidangan, namun tidak kurang juga selesa membeli kerana lebih praktikal terutama bagi mereka tinggal seorang atau berdua.

Namun, perkongsian seorang lelaki dikenali sebagai Anas Zakaria, mengenai perbelanjaan makanan sepanjang dua minggu Ramadan menarik perhatian ramai di media sosial.

Lelaki itu turut berkongsi graf perbandingan perbelanjaan antara membeli makanan di bazar dan memasak sendiri di rumah.

“Ramai anggap kalau duduk seorang atau berdua, memasak bukan satu pilihan jimat sebab kos bahan mentah sama je macam beli.

“Tambah penat masak lagi. Saya tak percaya pada percakapan sahaja jadi saya rekod perbelanjaan makanan.

“Minggu pertama puasa saya beli makanan berbuka dan sahur di bazar diikuti minggu kedua konsisten masak dekat rumah selama seminggu,” kongsinya.

MENARIK DIBACA:[V] Sah jus tembikai ini tak campur air! Peniaga terkejut gerai diserbu, isteri awalnya was-was idea 'piyor'

MENARIK DIBACA: Ambil iktibar kisah 3 individu mengalah, serah makanan iftar kepada sekeluarga lewat tiba di masjid

Jelasnya, minggu pertama membeli makanan berbuka dan sahur di bazar Ramadan, dia membelanjakan kira-kira RM250 untuk dua orang makan bersamaan sekitar RM18 seorang sehari atau kira-kira RM9 bagi setiap hidangan.

Pada minggu kedua, apabila memasak sendiri jumlah perbelanjaan makanan menurun ketara dengan anggaran kos hanya sekitar RM150 seminggu.

“Sekitar RM110 dibelanjakan untuk barangan dapur, RM21 buat beli kuih di bazar sebagai juadah berbuka sunat, selebihnya bagi tambah bahan seperti daun sup dan rempah.

“Daripada RM250 turun ke RM150, maknanya ada penjimatan sekitar RM100 atau hampir 40 peratus. Pada saya RM100 setiap minggu tu macam ‘harga kemalasan’ kalau pilih untuk tak memasak,” ujarnya.

Kongsi lelaki itu, walaupun memasak memerlukan masa sekitar 30 hingga 45 minit bagi setiap hidangan lengkap dengan lauk dan sayur, masih berbaloi jika dibandingkan dengan kos membeli makanan di luar.

Anas turut memberitahu dia mendapat kepuasan makan kerana tidak perlu berjimat dengan saiz hidangan.

Graf perbelanjaan bagi minggu kedua berpuasa dan membeli barang masak.

“Bila beli di bazar, kadang-kadang kena catu lauk supaya cukup untuk berbuka dan sahur. Budget pula sekitar RM20 untuk dua orang makan.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, memang rasa tak puas makan,” katanya.

Tambahnya, keadaan berbeza apabila memasak sendiri kerana dia boleh sediakan hidangan cukup untuk dua kali makan malah kadangkala ada lebihan lauk.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen berkongsi pengalaman masing-masing mengenai dilema antara memasak atau membeli makanan.

Ada berpendapat dari sudut ekonomi, saiz hidangan dan selera, memasak sememangnya lebih sesuai, namun dari segi masa dan tenaga, membeli makanan kadangkala lebih praktikal.

Ada juga bersetuju dan mengakui kos membeli makanan boleh meningkat dengan cepat terutama bagi yang makan dalam kuantiti banyak.

Lelaki ini mendapati memasak sendiri di rumah lebih jimat.

“Saya boleh masak dan memang tukang masak di rumah, tapi tetap pilih makan di luar.

“Bagi saya masa makan di luar masa bermesra dengan keluarga sebab balik rumah tak perlu fikir nak kemas dapur.

“Kalau menu ayam, kami suami isteri boleh makan dua hingga tiga ketul seorang. Kalau beli di luar memang jadi mahal. Sebab itu kami masih pilih untuk memasak,” komen netizen.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Kenyataan ‘lelaki lagi power masak’ cetus perdebatan, netizen tak puas hati pertahan kehebatan wanita dalam dunia kulinari

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Teman anak makan roti canai, lelaki ini perasan ramai ‘geng plastik hitam’… Pekerja siap bungkus hantar ke kereta

Terhangat