[V] Dikecam salah sebut ‘roti canai’, peserta MasterChef kelahiran Malaysia mohon maaf
GARA-gara menyebut roti canai sebagai 'roti kanai' ketika program MasterChef musim ke 16: Global Gauntlet, peserta kelahiran Malaysia, Jaime Tan teruk dikecam netizen.
Menyedari kesilapannya, Jaime, 27, tampil memohon maaf dan menegaskan dirinya langsung tiada niat mengguris hati rakyat Malaysia.
Menurutnya, dia faham kesilapan tersebut mungkin memberikan tanggapan yang salah masyarakat mengenai hidangan ikonik Malaysia itu di pentas antarabangsa.
“Saya sedih kerana telah mengecewakan ramai orang di Asia Tenggara. Saya tidak berniat untuk salah menggambarkan hidangan kebangsaan di televisyen.

“Saya tahu betapa pentingnya hidangan ini kepada ramai orang, jadi saya cuma ingin memohon maaf,” katanya menerusi hantaran video di laman Threads pada Selasa.
Mengimbau latar belakang keluarganya, Jaime mendedahkan bahawa walaupun tidak dibesarkan di Malaysia, bapanya berasal dari Johor manakala mendiang datuk dan neneknya pernah memiliki sebuah kopitiam di negara ini.
Katanya, peluang mewakili Malaysia di pentas global sangat bermakna, justeru kritikan yang diterima turut memberi kesan emosi mendalam.
“Mewakili Malaysia dalam rancangan itu sangat bermakna bagi saya, sebab itu saya juga kecewa dengan diri sendiri,” ujarnya.
MENARIK DIBACA: Peserta Malaysia menang cabaran MasterChef, menu roti canai cecah kari sambil tonton Piala Dunia tambat hati juri
MENARIK DIBACA: Roti John ‘mendonia'! Peserta MasterChef Australia dari Malaysia curi perhatian juri
Namun begitu, Jaime tetap berterima kasih atas sokongan diterimanya, malah secara berseloroh memaklumkan dia kini sudah tahu sebutan yang betul.
“Salam sayang untuk Malaysia. Saya minta maaf kerana telah menyebut roti canai dengan salah,” luahnya.
Sebelum ini, Jaime mengharumkan nama negara apabila sajian roti canai dihasilkannya muncul juara cabaran mingguan program masakan popular itu.
MasterChef Musim ke-16: Global Gauntlet adalah edisi terbaharu rancangan memasak terkenal itu yang bermula pada 15 April 2026.
Ia berkonsepkan pertandingan bertaraf dunia dengan 20 peserta mewakili empat rantau iaitu Asia Pasifik, Eropah, Afrika dan Benua Amerika yang bersaing dalam cabaran bertema Piala Dunia.