Cepat lapar ketika puasa sunat dan ganti? Ini tip bantu anda 'steady' sampai petang
BELUM pun masuk waktu tengah hari, perut sudah mula berkeroncong minta diisi.
Situasi ini sering dihadapi oleh mereka yang berpuasa sunat atau ganti, sekali gus menjadi satu cabaran kerana orang sekeliling tidak berpuasa seperti mana bulan Ramadan.
Di Threads, seorang wanita fieraaa__ meminta pandangan orang ramai mengenai cara untuk mengelakkan perut daripada cepat lapar ketika berpuasa.
Menerusi perkongsiannya, dia bertanyakan tip untuk mengatasi masalah tersebut memandangkan perutnya berkeroncong sedangkan belum melepasi waktu tengah hari.

"Korang ada tip tak macam mana nak bagi perut tak lapar awal? Baru pukul 10 pagi perut dah lapar gila-gila. By the way untuk yang berpuasa," tulisnya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian warganet yang tampil berkongsi tip dan pengalaman masing-masing berhubung perkara ini.
"Awak makan apa sampai lapar balik? Elakkan ambil yang tinggi glisemik sebab cepat larut dalam darah. Contoh bihun tinggi glisemik dan lepas makan digalakkan jalan-jalan sikit untuk tak nak bagi dia (glisemik) masuk terus dalam darah.
"Buat air nabeez, rendam kurma selepas Isyak kemudian minum masa sahur.
MENARIK DIBACA: Petua bilis kekal rangup walau dah gaul sambal... Antaranya guna cuka, asam keping
MENARIK DIBACA: Petua guna cili kering tak 'jalan'? Ini 6 cara lain halau kutu beras
"Kurangkan nasi dan lebihkan protein. Minum air garam lima cubit masa sahur, kurma tujuh biji. Semua ni kena ambil sekali time sahur," beberapa warganet berkongsi tip.
Ada juga yang berpendapat rasa lapar ketika berpuasa mungkin berkait dengan faktor psikologi terutama apabila menyedari hanya dirinya seorang sedang berpuasa.
"Memang macam tu psikologi. 'Dan-dan' lapar bila teringat puasa. Tapi ada tak hari yang kita santai dan lengah makan pagi last-last pukul 2 hingga 3 petang baru nak makan. Time tu okay saja haha," antara komen netizen.

Tidak kurang juga menyarankan supaya pengambilan protein dan sayur-sayuran ditingkatkan ketika bersahur.
"Sahur lebihkan protein dengan sayur, karbohidrat sikit je. InshaAllah tak lapar sampai berbuka cuma haus je.
"Masa sahur cuba ambil makanan tinggi protein dan fiber contohnya telur, oat, roti wholemeal, yogurt atau nasi dengan lauk protein. Jangan sahur air dengan biskut je.
"Kurangkan makanan terlalu manis sebab boleh cepat lapar balik. Air pun cukupkan dari berbuka sampai sahur, kalau boleh makan dekat-dekat waktu imsak," komen netizen lagi.
Selain itu, seorang individu berkongsi amalan yang pernah dibacanya untuk membantu mengurangkan rasa lapar dan dahaga ketika berpuasa.
"Pernah terbaca katanya baca surah al-Kauthar tiga kali sebelum minum air. InsyaAllah kurang rasa dahaga/lapar. Dah cuba amalkan setakat ni menjadi," dia memberi cadangan.