Chef Fikree kongsi tip penting masak tomyam asli 'kaw', boleh guna pes tapi tak jamin sedap
TOMYAM sememangnya sinonim dengan penggunaan pes segera serta bahan-bahan beraroma seperti serai, lengkuas dan daun limau purut.
Ramai yang gemar menikmati tomyam dengan kuah 'kaw', pekat dan kaya dengan rasa masam manis.
Kalau anda nak tahu, rahsia menghasilkan kuah tomyam yang 'padu' tidaklah terlalu rumit kerana ia sebenarnya boleh bermula dengan penggunaan air rebusan khas!
Cef Fikree Aznan ada berkongsi kelainan dalam penyediaan hidangan popular ini dengan menggunakan satu bahan asas yang mungkin tidak terlintas di fikiran ramai.
Menerusi perkongsiannya di Threads, dia mendedahkan bahawa rahsia menghasilkan tomyam yang enak adalah dengan menggunakan air rebusan tulang ayam atau kepala udang sebagai 'base' (bahan asas) kuah.

Penggunaan air rebusan ini bukan sahaja menjadikan kuah lebih kaya rasa, malah memberikan kemanisan dan rasa berlemak secara semula jadi.
Jom Kuali kongsikan petua serta langkah penyediaan tomyam yang dikongsikan oleh Cef Fikree.
1. Gunakan air rebusan tulang ayam atau kepala udang
Rebus tulang ayam atau kepala udang terlebih dahulu.
Gunakan air rebusan tersebut sebagai asas kuah tomyam untuk menghasilkan rasa yang lebih enak.
2. Kisar bahan
Kisar cili kering bersama bawang merah dan bawang putih sehingga halus bagi menghasilkan kuah yang lebih berperisa.
3. Ketuk bahan herba
Jangan lupa ketuk lengkuas, serai dan akar daun ketumbar supaya aromanya lebih mudah keluar ketika dimasak.

4. Sos ikan
Penggunaan sos ikan dapat memberikan rasa masin dan umami yang melengkapkan rasa kuah tomyam.
5. Limau
Perahan limau membantu memberikan rasa masam yang menyegarkan.
Pastikan limau diperah dengan betul bagi mengelakkan rasa pahit.
MENARIK DIBACA: Chef Fikree kongsi rahsia bihun goreng sedap... Gaul 'tepi' dulu, baru goreng atas api
MENARIK DIBACA:Minum kola, makan garam antara tip elak perut meragam dan cirit birit bercuti di 'overseas'
6. Tambah susu sejat
Tambahkan susu sejat untuk menghasilkan kuah tomyam yang lebih lemak dan berkrim.
Menariknya petua ini, memasak tomyam tanpa menggunakan pes segera pun tidak menjadi masalah.
Gabungan bahan segar dan teknik penyediaan betul sudah cukup untuk menghasilkan kuah yang cukup menyelerakan.