Buah tanpa biji dikaitkan dengan GMO, tiada khasiat... Ketahui fakta ini!
PASTI ramai tertarik membeli buah-buahan yang kelihatan cantik, bersaiz besar dan mempunyai rasa manis lebih-lebih lagi jika ia tidak mempunyai biji.
Malah, semakin ramai pengguna kini cenderung memilih buah-buahan organik kerana menganggapnya terhasil melalui proses lebih semula jadi, selamat dan bebas daripada bahan kimia tertentu.
Sesetengah produk makanan turut memaparkan label 'Non Genetically Modified Organism' (Non-GMO) bagi memaklumkan pengguna bahawa produk berkenaan tidak mengandungi bahan daripada organisma yang diubah suai secara genetik.
Label ini juga turut diguna pakai dalam penjualan buah-buahan.
Bagaimanapun, masih wujud salah faham apabila buah-buahan tanpa biji dikaitkan dengan GMO malah ada yang mendakwa buah sedemikian hanya mengandungi gula dan tidak mempunyai khasiat.

Di Threads seorang wanita berkongsi keterujaannya selepas membeli anggur 'Shine Muscat' ketika berkunjung ke Cameron Highlands, Pahang.
Menurutnya, dia berpuas hati dengan pembelian itu kerana buah anggur berkenaan bersaiz besar, mempunyai rasa manis dan paling penting tidak mempunyai biji.
Perkongsian tersebut mengundang perhatian ramai apabila seorang lelaki meninggalkan komen mendakwa buah-buahan tanpa biji merupakan hasil pengubahsuaian genetik dan tidak memberikan sebarang manfaat kepada tubuh.
"Buah yang tak ada biji ni GMO. Ia dihasilkan hanya untuk memberikan rasa manis saja tetapi tak ada khasiat.
"Bila tengok buah macam ni, saya nampak cuma gula yang tinggi, rintangan insulin, fruktosa tinggi, fatty liver dan akhirnya boleh menyebabkan sirosis hati," dakwa individu berkenaan.
Dakwaan itu bagaimanapun dibidas seorang wanita yang meminta lelaki berkenaan serta orang ramai menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan.
"Tolong fact-check. Kat sini semua main pakai cakap je sebab nak nampak bijak. Seedless tu sebab tanam pakai keratan batang, bukan tiba-tiba seedless terus GMO.
"Buah tanpa biji masih berkhasiat. Shine Muscat pula merupakan hasil pembiakbakaan konvensional, bukannya semata-mata dihasilkan melalui pengubahsuaian genetik di makmal," jelasnya.

Untuk info, buah tanpa biji tidak semestinya dihasilkan melalui teknologi GMO.
Buah tanpa biji boleh terhasil menerusi beberapa kaedah termasuk mutasi semula jadi, kacukan konvensional dan teknik pembiakan tanaman tertentu.
Dalam penanaman anggur, kaedah keratan batang turut digunakan untuk menghasilkan pokok baharu yang mengekalkan ciri-ciri pokok induk.
Kaedah ini tidak menghasilkan ciri tanpa biji secara langsung, sebaliknya mengekalkan sifat sedia ada pada varieti berkenaan.
Malah, buah-buahan tanpa biji seperti anggur dan tembikai tetap mengandungi pelbagai nutrien termasuk vitamin, serat dan antioksidan.
Ketiadaan biji tidak bermakna kandungan khasiat buah tersebut turut hilang atau hanya tinggal gula semata-mata.
Walaupun anggur mengandungi gula semula jadi termasuk fruktosa, pengambilan buah segar secara sederhana tidak boleh disamakan dengan pengambilan minuman bergula atau jus buah secara berlebihan.
Sementara itu, risiko penyakit hati berlemak dipengaruhi pelbagai faktor antaranya lebihan kalori, pengambilan minuman bergula secara berlebihan dan gangguan metabolik.
Jadi, tidak tepat untuk mengaitkan pengambilan anggur tanpa biji secara langsung dengan masalah rintangan insulin atau penyakit hati berlemak.