Alat kesan kebakaran 'tertipu'! Tiba-tiba sembur air pada gambar api di gerai barbeku
SATU kejadian lucu di sebuah pusat peranginan ski di China mencuri perhatian warga maya apabila sistem pengesan kebakaran automatik tiba-tiba menyemburkan air ke arah papan iklan sebuah kedai makan.
Kejadian yang berlaku pada 19 November lalu di Wanlong Ski Resort, Zhangjiakou, wilayah Hebei itu sempat dirakam sebelum videonya tular di media sosial.
Menerusi video berkenaan, alat pemadam kebakaran yang dipasang pada siling dilihat tiba-tiba melepaskan pancutan air yang kuat tepat ke arah papan iklan sebuah kedai barbeku.
Apa yang mencuit hati, papan iklan tersebut sebenarnya memaparkan gambar arang sedang membara dan membuatkan ramai percaya sistem berkenaan tersalah mengesannya sebagai kebakaran sebenar.
Menurut laporan media , pihak pengurusan resort menjelaskan bahawa sistem berkenaan diaktifkan secara tiba-tiba ketika seorang pengunjung baru sahaja membuat pesanan sate kambing.

Resort tersebut bagaimanapun menafikan tanggapan orang ramai bahawa ia berpunca daripada gambar api pada papan iklan.
Sistem berkenaan dikatakan bertindak balas terhadap haba daripada pemanggang arang yang terletak di belakang papan iklan, bukannya kerana mengesan gambar api pada papan tanda itu.
Sejurus kejadian, kakitangan resort segera mematikan sistem berkenaan sebelum membersihkan kawasan yang terkena semburan air.
MENARIK DIBACA: Kunyah kulit limau kasturi, bau badan 'lesap'! Ramai dah lama amal, tak guna deodoran
MENARIK DIBACA: Rahsia ayam masak merah majlis kenduri sedap semacam, balik rumah masih teringat
Operasi kedai berkenaan kemudian disambung semula kira-kira 20 minit kemudian dan tiada kecederaan dilaporkan.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pihak pengurusan turut mengambil langkah mengubah kedudukan pemanggang arang ke lokasi lain.
Walaupun penjelasan sudah diberikan, video tersebut tetap mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.