Boleh pilih restoran, PMX ada sebab nak makan di warung setiap Jumaat
MENCARI tempat untuk menikmati makan tengah hari di warung pada setiap Jumaat sudah menjadi rutin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan cara ini, beliau berkesempatan untuk melihat dan menyelami sendiri kehidupan golongan peniaga kecil.
Sepanjang empat tahun mengamalkan rutin itu, beliau menggunakan peluang yang ada untuk bertanya mengenai keadaan perniagaan serta masalah yang dihadapi mereka.
Anwar biasanya singgah untuk makan di warung dan gerai kecil sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sebelum menuju ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Ketika berada di warung, beliau mengambil kesempatan berbual dengan pemilik perniagaan bagi mengetahui keadaan operasi mereka.

Antara perkara yang ditanya termasuklah kadar sewa, jumlah pekerja serta kesan kenaikan harga bahan mentah seperti bawang dan ikan.
"Takkanlah perdana menteri tak boleh pergi makan di restoran besar, tetapi saya pergi di warung.
"Sebab apa saya pergi warung? Saya tanya dia berniaga bagaimana, sewa dia berapa, berapa orang kerja, apa masalah dia, harga bawang naik macam mana, harga ikan macam mana, saya dengar sendiri," katanya, memetik laporan Harapan Daily.
Bagi perdana menteri, pertemuan secara langsung membolehkan beliau mendengar sendiri kesukaran yang dihadapi peniaga berbanding hanya bergantung kepada maklumat yang disampaikan melalui saluran rasmi.
Beliau turut menegaskan bahawa kunjungan berkenaan bukan aktiviti bermusim yang dilakukan menjelang pilihan raya.
MENARIK DIBACA: Oseng mercon dari Indonesia terpedas di Asia Tenggara! 2 sajian Malaysia turut tersenarai
MENARIK DIBACA:Buah tanpa biji dikaitkan dengan GMO, tiada khasiat... Ketahui fakta ini!
Malah, ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin mingguannya.
"Saya buat tiap minggu selama empat tahun sebelum solat Jumaat, pergi ke warung, gerai, bukan restoran besar, duduk makan dan tanya khabar, lepas itu pergi masjid," katanya lagi.
Selain isu peniaga kecil, Anwar turut menyentuh masalah kemudahan sekolah seperti tandas rosak, ketiadaan bekalan air dan kekurangan guru berdasarkan maklum balas murid yang ditemuinya di masjid.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan dalam pendidikan anak-anak, termasuk soal ibadah, pembentukan sahsiah dan amalan membaca.