[V] Kodi Rasheed trauma termakan daging busuk - “Bagi wagyu pun saya tak boleh telan”
PERNAH melalui pengalaman termakan hidangan daging yang telah basi ternyata meninggalkan kesan trauma kepada pelakon Kodi Rasheed.
Ujar Kodi atau nama sebenarnya Muhammad Shazmeer Mohd Rasheed, 36, disebabkan kejadian tersebut, dia tidak boleh lagi 'menelan' apa jua masakan berasaskan daging, termasuk kambing sehinggalah hari ini.
Bahkan, jika diberikan daging premium seperti wagyu sekalipun, dia tidak akan memakannya kerana kesan trauma yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu.

"Ramai tak tahu saya sebenarnya tidak makan daging termasuk kambing selepas melalui pengalaman buruk.
"Suatu hari saya makan rendang daging. Tapi rasanya sangat teruk dan berbau hanyir. Rasanya rendang itu dah basi.
"Dan sejak daripada itu, saya langsung tidak boleh 'telan' daging sampai sekarang. Walaupun beri saya daging wagyu pun saya tidak boleh makan sebab daging tetap daging," katanya.

Bukan tidak pernah cuba melawan kesan trauma yang dialaminya, namun nafsu seleranya terhadap masakan daging seolah-olah telah 'ditutup' rapat.
"Mungkin orang lain cakap saya rugi sebab tak makan daging, tapi saya memang dah tak boleh makan.
"Bahkan kalau terhidu sup daging pun boleh buatkan saya rasa loya," katanya.
MENARIK DIBACA: Aizat Saha makan banyak, tak kira musim raya atau tidak... Stres berat badan susah naik
MENARIK DIBACA: Buah tak rosak, tahan berbulan-bulan... Ini cara unik orang Afghanistan simpan anggur!
Selain daging, pelakon filem Malaikat Malam itu turut memberitahu dia juga tidak makan sos cili, durian dan sambal sejak dari kecil lagi tanpa sebab tertentu.
"Selain daging, saya juga tak makan sos cili, durian dan sambal. Memang sejak dari kecil lagi.
"Tapi saya tak ada masalah kalau makan masakan pedas walaupun saya ada masalah gastrik kronik," ujarnya.
Kata Kodi, masalah gastrik yang dialaminya itu memerlukan dia makan tepat pada waktunya walaupun ketika itu sibuk berada di set penggambaran.

Dakwa pemenang anugerah Pelakon Lelaki Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 itu, jika gastriknya menyerang, dia perlu mendapatkan suntikan segera di hospital atau klinik untuk meredakan kesakitan yang dialaminya.
"Saya ada gastrik yang teruk dan tidak boleh biarkan perut kosong. Jadi saya kena makan ikut waktu.
"Walaupun sedang sibuk dilokasi penggambaran, saya akan minta krew berhenti sekejap untuk makan.
"Kalau gastrik saya tiba-tiba datang, telah ubat pun tak membantu selain dapatkan suntikan (parenteral) di klinik," katanya.