Mula berniaga tepi jalan, kini pengusaha Port Banglo Durian Pak Ali raih jualan 19 tan sebulan
SIAPA sangka, bermula dari sebuah gerai kecil di tepi jalan, nama Pak Ali Durian kini menjadi sebutan dalam kalangan pencinta raja buah di Lembah Klang.
Meskipun kedengaran biasa, jenama Pak Ali cukup dekat di hati rakyat Malaysia kerana mudah diingati, mesra dan klasik.
Pak Ali atau nama sebenarnya Kamal Ruzaman Muhammad Kamal memulakan perniagaan durian pada tahun 2018 di tepi jalan sekitar Pandan Jaya.

Berbekalkan minat menjual durian diwarisi bapanya, kini lelaki berusia 40-an itu berjaya membina sebuah 'port' makan durian yang menjadi tumpuan ramai setiap kali musim raja buah itu tiba.
Bertempat di Banglo Durian Pak Ali Kuala Lumpur, port diusahakan itu bukan sahaja menjadi lokasi popular untuk menikmati durian, malah turut menarik perhatian pelancong dan pencinta buah tempatan yang ingin merasai sendiri keenakan durian segar dalam suasana kampung nyaman dan autentik.
Kisahnya bermula apabila pandemik melanda membuatkan dia terpaksa beralih ke platform dalam talian, menjual durian secara live di TikTok dan Instagram.
MENARIK DIBACA:Ada sebab bawang dan kentang tak boleh disimpan bersama, ikut tip ini elak cepat rosak
MENARIK DIBACA: Wajah nampak tua berbanding usia sebenar, pengambilan 6 makanan ini jadi puncanya

Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelangsungan perniagaan, malah berjaya menarik ribuan pengikut setia mengenali Pak Ali Durian.
Melihat sambutan pelanggan semakin memberangsangkan, dia mengambil langkah berani dengan menubuhkan port eksklusif yang bukan sahaja sebagai tempat membeli bahkan tempat menikmati durian secara santai.
“Idea menubuhkan banglo ini timbul apabila ramai pelanggan mengikuti sesi ‘live’ bertanya tentang tempat khas untuk menikmati durian beramai-ramai.
“Dari situlah tercetus ilham untuk menggabungkan konsep jualan secara dalam talian, fizikal dan acara di bawah satu bumbung” jelas Pak Ali.
Banglo tersebut kini menjadi lokasi strategik yang lengkap dengan ruang untuk sesi ‘live’, penyediaan dan pembungkusan durian, penghantaran serta mengadakan majlis tertutup.

Dapat digambarkan sepanjang musim durian dari Mei hingga Ogos, banglo yang dibuka dari 11 pagi hingga 11 malam ini sentiasa dibanjiri pengunjung terutamanya pada hujung minggu.
Tambahnya, ia turut menjadi tumpuan pelanggan korporat termasuk Bank Negara, Petronas, Bank Rakyat dan pelbagai organisasi lain untuk mengadakan acara durian.
Menariknya, setiap biji durian dijual oleh Pak Ali dipilih sendiri dari kebun-kebun terpilih di sekitar Pahang dan Johor, termasuk dari kebun miliknya sendiri.
Durian-durian ini akan digred dan melalui proses kawalan kualiti yang ketat sebelum dibuka, dibungkus dan dihantar kepada pelanggan antara jam 1 petang hingga 9 malam.
“Kami akan memastikan setiap isi durian diterima pelanggan tidak keras, tidak masam dan tidak tawar. Durian segar dibawa masuk setiap hari untuk memastikan kualiti terjamin.

“Jualan kami mampu mencecah sehingga 1.5 tan pada hujung minggu dan sekitar 300-500 kilogram durian pada hari biasa, jadi bulanan kami dapat peroleh sebanyak 19 tan durian,” katanya.
Antara varieti durian ditawarkan termasuklah durian kampung, kampung kahwin, D24, XO, IOI, DIOI dan Udang Merah yang terkenal dengan rasa manis dan tekstur berkrim.
Selain itu, durian premium seperti Musang King, Tekka dan Black Thorn turut menjadi rebutan pelanggan kerana kualitinya premium dan rasa lebih eksklusif.
Bagi anda yang ingin mencuba durian di sini, Pak Ali mencadangkan jenis kampung atau kampung kahwin kerana rasanya seimbang, tidak terlalu manis dan tidak terlalu pahit.

Walaupun jenamanya kini secara bulanan mencecah puluhan tan, Pak Ali tidak terkecuali daripada cabaran dalam mendapatkan stok pada permulaan atau penghujung musim, selain membina kepercayaan pelanggan secara dalam talian.
Baginya, kunci untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan adalah dengan konsisten menghasilkan konten dan 'live' setiap hari di media sosial.
Pak Ali percaya bahawa mana-mana pelanggan sudah pasti ingin melihat ketelusan dalam perniagaan sebelum membuat keputusan untuk membeli.
Selain menjual durian segar dan cendol, Pak Ali kini bakal mengembangkan perniagaannya dengan memperkenalkan produk-produk baharu berasaskan durian seperti aiskrim, wafel dan juga bingsu Musang King dalam masa terdekat.