Semarakkan semangat kemerdekaan dengan 5 idea menu bertemakan Hari Kebangsaan
SETIAP kali bulan Ogos menjelma, rakyat Malaysia pasti tidak melepaskan peluang untuk meluahkan semangat patriotisme dan cinta terhadap tanah air tercinta.
Ramai mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti menghadiri perarakan patriotik, menghias rumah dan kenderaan dengan Jalur Gemilang serta menyertai sambutan ambang Merdeka yang penuh gema semangat kebangsaan.
Suasana penuh warna-warni ini menjadi bukti kebanggaan rakyat terhadap kemerdekaan negara.

Selain kibaran bendera sebagai simbol utama meraikan detik bersejarah ini, penyediaan makanan bertemakan Merdeka kian mendapat perhatian sebagai satu bentuk ekspresi kreatif yang unik.
Hidangan diinspirasikan daripada elemen kenegaraan sama ada dari segi warna, bentuk mahupun nama bukan sahaja membangkitkan selera malah mampu menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda.
MENARIK DIBACA: Telur dadar kedai Thai memang sedap lain macam, bancuhan bersama air soda dan kicap bukit rahsianya
MENARIK DIBACA:Tak payah guna serbuk perasa, tumbuk campuran bahan-bahan ini cukup buat nasi goreng bertambah sedap
Tidak kira sama ada untuk jualan, sambutan di sekolah, majlis atau sekadar memeriahkan suasana di rumah, makanan bertemakan Merdeka ini boleh dibuat sesiapa sahaja bagi memeriahkan suasana.
Berikut adalah beberapa idea makanan Merdeka yang boleh anda cuba di rumah:

1. Nasi lemak Jalur Gemilang
Nasi lemak sebagai hidangan kebangsaan yang sangat digemari ramai rakyat Malaysia. Hidangan ini boleh diolah dengan warna-warna tema Jalur Gemilang – merah, putih, biru, dan kuning menggunakan bahan atau pewarna semula jadi.
Nasi lemak dimasak bersama air rebusan bunga telang untuk menghasilkan warna biru, sambal merah pedas, telur rebus kuning dan putih serta lauk tambahan sebagai pelengkap.
Saji dalam bekas berbentuk segi empat dan susun lauk-pauk membentuk bendera Malaysia.

2. Kuih tradisional mini Merdeka
Kekayaan kuih-muih Melayu dan tradisional boleh diketengahkan dalam bentuk mini dan dihias dengan elemen Merdeka.
Pilihan kuih seperti kuih lapis merah putih, seri muka (hijau dan putih), kuih talam (kuning dan hijau), onde-onde atau kuih ketayap mini.
Tip: Susun dalam dulang mengikut warna Jalur Gemilang. Tambah bendera kecil di setiap kuih sebagai hiasan.

3. Roti jala
Roti jala merupakan makanan tradisional yang sering menjadi pilihan di majlis rasmi dan kenduri.
Untuk menyambut semangat Merdeka, roti jala boleh diolah dengan sentuhan patriotik supaya lebih menarik dan meriah.
Warna-warna pewarna semulajadi boleh digunakan pada adunan roti jala dengan mengggunakan bunga telang atau pewarna (biru), kunyit (kuning), jus buah atau pewarna (merah).
Buat roti jala dalam tiga warna berlainan, kemudian gulung dan susun dalam pinggan supaya menyerupai warna bendera Malaysia.

4. Kek Merdeka
Kek adalah makanan wajib dalam mana-mana sambutan dan boleh digayakan dengan pelbagai cara dan sesuai hidangan potluck, jualan atau hadiah sambutan Merdeka.
Cadangan pilihan:
Kek lapis pelangi boleh disusun lapisan mengikut warna bendera.
Cupcake Merdeka dengan topping warna bendera dan hiasan fondan bentuk Malaysia.

5. Air patriotik 3 warna
Minuman tiga lapisan yang berwarna-warni sangat popular untuk sambutan bertema.
Kombinasikan warna-warna dalam gelas dengan lapisan bawah berwarna merah daripada sirap ros, lapisan tengah putih menggunakan santan atau susu manakala lapisan atas berwarna biru dituangkan bersama air blue lagoon.
Gunakan ais dan tuang perlahan untuk elak warna bercampur.