Jepun hasilkan pisang makan tanpa kupas kulit, 'tabik' ketelitian petani bekerja
BIASANYA bila makan pisang, sudah menjadi kebiasaan untuk kita kupas kulitnya dulu, tapi lain pula ceritanya di Minamikyushu, Jepun.
Di sana, pengeluar dikenali sebagai 'Kami Banana' berjaya mencipta standard baharu dalam dunia pertanian apabila menghasilkan pisang boleh dimakan sekali dengan kulit.
Beza pisang ini dengan pisang biasa bermula dengan sumber air.
Pengeluar tidak menggunakan air biasa, sebaliknya air yang sangat jernih dan bersih dari kawasan pergunungan seperti Gunung Hakusan.

Air ini digunakan untuk menyiram tanaman secara berkala, memastikan pokok mendapat nutrien terbaik.
Pisang yang dikenali sebagai Taiwan Hokuba ini ditanam di dalam rumah hijau (greenhouse) dengan suhu yang dikawal rapi supaya pokok dapat membesar secara optimum tanpa gangguan cuaca ekstrem.
Selepas kira-kira enam bulan, buah mula muncul, maka di sinilah ketelitian petani Jepun benar-benar terserlah.
Sekitar 20 hari selepas bunga pisang keluar, bahagian bunga yang belum gugur akan dibuang secara manual.
MENARIK DIBACA: Saiznya mungkin kecil, pisang mas muncul terbaik di dunia
MENARIK DIBACA: Pasar raya di Korea perkenal konsep 'Haru Hana Banana', elak pisang busuk secara serentak
Bukan itu sahaja, pekerja akan mencabut kelopak kecil di hujung setiap buah satu per satu menggunakan tangan.
Proses ini penting bagi memastikan kulit pisang tumbuh licin, bersih tanpa tompok hitam, dan menjadi lebih nipis.
Menariknya, pisang ini ditanam tanpa menggunakan racun serangga, sekali gus kulitnya kekal bersih dan selamat untuk dimakan.
Apabila mencecah usia lapan bulan, buah yang dituai akan dicuci dan melalui proses pemilihan yang sangat ketat.

Setiap biji pisang akan ditimbang dan diperiksa bagi memastikan tiada kecacatan atau kerosakan.
Namun, proses paling penting adalah peringkat pematangan yang mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari di ruang khas.
Dalam tempoh ini, kandungan pati dalam buah dan kulit akan bertukar menjadi gula dan menghasilkan kulit pisang yang sangat nipis, manis dan lembut apabila digigit.
Lebih menarik, makan pisang bersama kulitnya sebenarnya memberi manfaat kesihatan memandangkan ia mengandungi triptofan yang membantu memperbaiki hati, selain serat yang jauh lebih tinggi berbanding hanya makan isi buah sahaja.