Pemuda jalani rawatan dialisis kali ke-700, dulu makan 2 bungkus mi segera setiap hari
SEORANG pemuda berusia 25 tahun menarik perhatian ramai selepas kisahnya yang menghidap sakit buah pinggang kronik tular dalam media sosial.
Pemuda tersebut yang dikenali sebagai Edi Utomo didiagnosis mengalami masalah kegagalan buah pinggang tahap lima gara-gara tabiat pemakanan tidak sihat.
Memetik laporan agensi berita, detik.com, Edi berkata sejak kecil dia begitu menggemari mi segera dan akan menikmati makanan tersebut setiap hari.

"Saya tidak merokok dan minum kopi. Tapi saya gemar makan mi segera.
"Sejak kecil lagi saya akan makan dua bungkus mi segera.
"Kebiasaan tersebut berjalan dalam tempoh yang sangat lama sehingga saya dewasa," ujarnya yang tinggal di Tuban, Jawa Barat, Indonesia.
Tahun 2019 menjadi titik terburuk dalam hidupnya apabila dia tiba-tiba mengalami penurunan tahap kesihatan secara drastik sebelum disahkan menghidap masalah buah pinggang kronik ketika berusia 20 tahun.
Jelas Edi, beberapa bulan sebelum mengetahui masalah sakit buah pinggang, dia sering demam dan kesejukan terutama ketika menggunakan kipas angin.
MENARIK DIBACA: Keropok lekor 'homemade' guna ikan bilis, nasi sejuk... Nikmat makan dengan sos Thai
MENARIK DIBACA: Kedai tutup sekejap untuk solat Jumaat, pelanggan beri reviu buruk sebab tak letak notis
"Selepas dua hingga tiga bulan kemudian, kesihatan saya semakin merosot sehingga kehilangan tenaga.
"Keadaan itu sering membuatkan saya berasa penat sebelum doktor mengesahkan saya menghidap sakit buah pinggang tahap lima," katanya.
Sejak 2019, Edi terpaksa menjalani proses dialisis iaitu mencuci darah sebanyak dua kali seminggu dan terbaharu melakukannya buat kali ke-700.

"Semuanya berpunca akibat gaya pemakanan tidak sihat yang diamalkan bertahun-tahun.
"Boleh dikatakan setiap hari saya makan dua bungkus mi segara.
"Tapi sekarang saya kena tanggung akibatnya," ujar Edi.
Mi segera sememangnya diketahui boleh memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan.
Makanan segera yang mudah dan cepat dimasak ini mengandungi natrium atau garam yang tinggi, selain tinggi kandungan kalori serta lemak.