Bayi kurang gula sejak dalam kandungan, risiko hidap demensia rendah ketika tua - Kajian
GULA sering dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti berat badan berlebihan dan diabetes.
Satu kajian terbaharu menunjukkan bahawa kesan pengambilan gula bermula sejak manusia berada di fasa awal dalam kandungan dan seterusnya memberi impak berpanjangan terhadap kesihatan otak seiring peningkatan usia seseorang.
Laporan media antarabangsa mendedahkan individu terdedah kepada pengambilan gula lebih rendah sejak dalam kandungan sehingga usia dua tahun mempunyai risiko demensia sehingga 23 peratus lebih rendah pada usia dewasa berbanding mereka yang tidak melalui tempoh sekatan gula.
Laporan itu diketengahkan hasil daripada kajian dikendalikan terhadap kira-kira 64,737 individu yang lahir ketika Britian melaksanakan catuan gula dan individu lahir selepas catuan berkenaan yang berakhir sekitar September 1953.

Catuan itu didakwa dikendalikan sekitar Perang Dunia Kedua bermula pada 1940.
Keadaan itu memberi peluang kepada penyelidik untuk melihat kesan jangka panjang pengambilan gula lebih rendah pada peringkat awal kehidupan.
MENARIK DIBACA: Pelanggan kecewa... Pesan nasi, tomyam dan telur dadar tapi satu menu pun tak boleh makan!
MENARIK DIBACA: Meriah menjelang Ramadan... Lepas 'shopping' di Pasar Chow Kit, baru faham kenapa ramai redah walau sesak
Hasil analisis mendapati mereka yang mengalami catuan gula sejak dalam kandungan sehingga usia setahun mempunyai risiko demensia 21 peratus lebih rendah berbanding individu lahir selepas catuan berakhir.
Bagi individu mengalami sekatan gula sehingga usia dua tahun, risikonya pula dianggarkan 23 peratus lebih rendah selepas mengambil kira faktor seperti umur, jantina, status sosio-ekonomi, gaya hidup serta masalah kesihatan tertentu.

Menariknya, pengambilan gula lebih rendah pada awal kehidupan turut dikaitkan dengan kelewatan kemunculan demensia sekitar 2.6 tahun secara purata.
Penemuan itu memberi gambaran bahawa mengehadkan gula tambahan ketika kehamilan dan peringkat bayi mungkin menjadi salah satu langkah berpotensi menyokong kesihatan otak dalam jangka panjang.
Penyelidik turut menegaskan lebih banyak kajian diperlukan bagi memahami bagaimana pendedahan gula pada peringkat awal kehidupan boleh mempengaruhi risiko demensia beberapa dekad kemudian.
Pakar dari badan amal penyelidikan demensia, Alzheimer's Research UK turut menegaskan bahawa kajian lanjut diperlukan, sementara pemakanan seimbang kekal antara pendekatan penting untuk menyokong kesihatan otak sepanjang hayat.