info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
featured_seasonal_and_gifts 0
hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

KUALI | Momen

Selangor Fruit Valley tambah tarikan baharu termasuk kafe vanila, sasar lebih ramai pengunjung

Lead Image

SELANGOR Fruit Valley (SFV) bukan sekadar dusun atau ladang pertanian biasa yang dibuka untuk pengunjung.

Destinasi yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu kini sedang melalui transformasi sebagai hab agropelancongan yang menggabungkan keindahan alam semula jadi, aktiviti rekreasi dan pengalaman pendidikan dalam satu lokasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, usaha menaik taraf SFV dilaksanakan bagi memenuhi permintaan pengunjung yang kini mahukan pengalaman pelancongan yang lebih menyeluruh, bukan sekadar menikmati buah-buahan.

Mohamad Khairil (tengah) beramah mesra dengan peserta Program Fam Trip @ Selangor Fruit Valley.

"Atas permintaan ramai, kami sedang merancang menaik taraf SFV dengan pelbagai tarikan baharu untuk pengunjung.

"Rata-rata mereka yang datang bukan sahaja mahu menikmati suasana kebun dan makan buah-buahan, malah ingin menghabiskan lebih banyak masa dengan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan di SFV," katanya.

Mohamad Khairil berkata demikian pada Program Fam Trip @ Selangor Fruit Valley diadakan di Bestari Jaya, Kuala Selangor, 14 Julai lalu.

Antara tarikan baharu yang bakal diperkenalkan termasuklah Kafe Vanila, Taman Buah Nadir dan kemudahan glamping yang menawarkan pengalaman lebih santai kepada pengunjung.

MENARIK DIBACA: Fama tetapkan harga 'runtuh' durian kampung, paling rendah RM2.70 sekilogram

MENARIK DIBACA: Projek Melon Selangor catat kejayaan, fasa kedua buka lebih banyak peluang buat usahawan tani

Kafe Vanila yang dijangka beroperasi pada Oktober depan, menawarkan pengalaman menjamu selera dalam suasana rumah hijau tanaman vanila yang diusahakan oleh SFV.

Sementara itu, kemudahan glamping pula menyediakan pengalaman bermalam dalam khemah moden di tengah-tengah kehijauan ladang, selari dengan trend percutian semakin mendapat tempat di hati generasi muda.

Dalam masa sama, Taman Buah Nadir yang sedang giat dibangunkan menjadi antara projek utama SFV dalam usaha memulihara spesies buah-buahan tempatan yang semakin sukar ditemui.

Sasaran kami bukan sahaja memberi tumpuan kepada pasaran domestik, malah memperluaskan capaian ke pasaran antarabangsa

DATUK DR WIRA MOHAMAD KHAIRIL

 Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS

Menurutnya, projek seluas 2.02 hektar yang dibangunkan sejak dua tahun setengah lalu itu bukan sahaja menjadi pusat pemuliharaan, malah berfungsi sebagai lokasi pembelajaran kepada pengunjung mengenai kepelbagaian buah-buahan tempatan.

"Usaha ini dilakukan bagi memperkenalkan semula buah-buahan tempatan, khususnya buah-buahan nadir kepada masyarakat supaya warisan ini tidak hilang ditelan zaman," katanya.

Bukan itu sahaja, Mohamad Khairil menjelaskan pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor bagi menggalakkan lebih banyak lawatan daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. 

SFV adalah destinasi agropelanancongan yang menggabungkan keindahan alam semula jadi, aktiviti rekreasi.

Selain memperluaskan promosi dalam negara, SFV turut giat memperkenalkan destinasi agropelancongan ke peringkat antarabangsa.

"Kami juga menghantar wakil ke Osaka World Expo di Jepun bagi mempromosikan SFV sebagai destinasi agropelancongan serta memperkenalkan produk-produk keluaran SFV.

"Sasaran kami bukan sahaja memberi tumpuan kepada pasaran domestik, malah memperluaskan capaian ke pasaran antarabangsa supaya lebih ramai pelancong mengenali SFV sebagai destinasi agropelanancongan yang unik di Malaysia," jelasnya lagi.

Pada tahun lalu, SFV merekodkan kira-kira 100,000 pengunjung dan dengan penambahan pelbagai produk serta pengalaman baharu, destinasi itu menyasarkan kehadiran seramai 150,000 pengunjung sepanjang tahun 2026.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Viral

[V] Pemuda jual nasi lemak di Jerman, pelanggan wanita terpikat sampai nak pindah Malaysia

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Viral

Netizen kenang makanan waktu susah, paling sedih cuci ayam sisa tetamu rumah kenduri

Terhangat