Pengunjung Kopi Ber-Kuali-Ti terpesona! Cef Fazley lincah 'main' manisan, juara kopi dunia tunjuk 'skill'
BAZAR Kopi Ber-Kuali-Ti yang dianjurkan bersempena Hari Kopi Antarabangsa 2026 meriah apabila peminat kopi dan pencinta makanan tak putus-putus berkunjung ke acara itu yang berlangsung di Menara Star, Petaling Jaya pada Khamis.
Tidak hanya tertumpu kepada kopi, program bazar jualan ini turut mengetengahkan aneka makanan, minuman dan manisan 'trending' serta buah-buahan segar selain pelbagai aktiviti santai yang melengkapkan pengalaman pengunjung.

Rata-rata pengunjung yang terdiri daripada orang awam, warga kerja SMG dan peminat kopi bukan saja sibuk meninjau setiap 'booth' jualan, tetapi juga dapat bersantai melalui acara ini.
Kolaborasi Kuali - PKPS
Program edisi sulung anjuran Kuali, portal makanan dan gaya hidup di bawah Star Media Group (SMG) Berhad ini lebih bermakna apabila mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku rakan penaja strategik yang turut menyumbang kepada kemeriahan acara menerusi jualan produk.

Mengangkat tema 'Dimaniskan oleh PKPS', kolaborasi ini memberikan nilai tambah kepada pengalaman pengunjung di samping memperkukuh hubungan antara jenama, komuniti dan dunia makanan melalui satu platform.
Dua anak syarikat PKPS, iaitu PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd dan Selangor Fruit Valley (SFV) turut mengambil bahagian dengan membuka reruai bagi memperkenalkan serta menawarkan produk keluaran masing-masing.

Antara barangan Ehsan yang laris dijual adalah nuget, popia 'frozen', santan, minuman Choco Malt, pastri dan lain-lain lagi.
Eksklusif untuk program ini, santan keluaran Ehsan digunakan dalam penyediaan minuman istimewa Black Sora Iced Latte.

Pengunjung juga berpeluang melihat demonstrasi cara membuat kek batik istimewa menggunakan biskut jagung keluaran Ehsan.
Selain itu, jus dan buah-buahan segar dari ladang SFV juga mempunyai ramai peminat.
Cef selebriti, juara dunia kopi hangatkan suasana
Program Kopi Ber-Kuali-Ti tentunya tidak lengkap tanpa hiburan, justeru cef selebriti Fazley Yaakob dijemput bagi memeriahkan program ini.

Tetamu VIP yang hadir terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group (SMG) Chan Seng Fatt, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Mohamad Khairil Mohamad Razi, Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang dan Ketua Pegawai Kandungan SMG Datin Paduka Esther Ng Sek Yee.

Program bertambah meriah apabila Nas Jaafar tampil berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai dunia kopi menerusi sesi ‘Barista Talk’.
MENARIK DIBACA: Bazar Kopi Ber-Kuali-Ti khas untuk 'kaki kopi', peminat matcha dan geng suka makan!
Menerusi sesi ini, Nas berkongsi pelbagai perkara berkaitan kopi termasuklah menunjukkan kemahirannya menyediakan kopi 'slow brew' yang mungkin selama ini kurang diketahui masyarakat dan peminat kopi.

Ara turut berkongsi cerita dan pengalamannya tentang kopi.
Kopi menyatukan komuniti
Editor Kuali, Izra Rahman berkata idea untuk menganjurkan program ini tercetus apabila kopi kini dilihat bukan sekadar minuman tetapi menjadi sebahagian daripada budaya dan gaya hidup yang menyatukan masyarakat di seluruh dunia.

"Menerusi Kopi Ber-Kuali-Ti, kami mahu membawa semangat Lebih Daripada Resipi yang menjadi 'tagline' Kuali dengan mewujudkan ruang untuk komuniti berkumpul, berkongsi pengalaman dan meneroka kepelbagaian dunia kopi serta makanan dalam suasana santai dan menyeronokkan.
"Kerjasama bersama PKPS juga memberikan dimensi yang lebih bermakna kepada program ini, khususnya dalam memperkenalkan produk makanan berkualiti hasil keluaran negeri Selangor kepada pengunjung," katanya.

Dalam pada itu, katanya, penganjuran program ini diharapkan dapat terus mengukuhkan kedudukan Kuali sebagai portal makanan dan gaya hidup selepas ia melalui proses penjenamaan semula dari Bahasa Inggeris kepada kandungan bahasa Melayu sejak tahun lalu.
"Perubahan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kuali untuk tampil lebih dekat dengan pembaca dan komuniti tempatan, sambil terus menyajikan kandungan makanan dan gaya hidup yang relevan, segar dan menarik.

Selain PKPS, Gardenia Bakeries KL turut menyokong program ini dengan menaja produk mereka, Gardenia Squiggles Choco Malto dan Gardenia Original Classic Supreme kepada pengunjung.
Makanan, minuman 'trending'
Bazar ini menyaksikan 26 vendor terpilih menjual produk masing-masing yang terdiri daripada aneka kopi, teh, matcha, bagel, nachos, pastri, kukis dan bermacam makanan lain.

Antara vendor yang mengambil bahagian termasuklah Oriental Kopi, Inside Scoop, Kupi Ging, Coma, Grill Haven, Wonder Milk, Taco Escobar, When Lala Bakes dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, tetamu turut mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti menarik seperti Kuali Quiz and Merch, Blind Box Redemption serta sesi fotografi di photobooth.
Pelbagai hadiah dan cenderamata eksklusif yang disediakan turut menjadi antara tarikan kepada pengunjung yang menyertai aktiviti berkenaan.
Turut menjayakan penganjuran Kopi Ber-Kuali-Ti adalah 'StarTrack' iaitu kumpulan graduan yang menyertai program pelatih pengurusan siswazah di bawah SMG.
Hari Kopi Antarabangsa disambut pada 1 Oktober setiap tahun sebagai acara global yang meraikan minuman berkenaan serta kepelbagaian budaya kopi di seluruh dunia.