Ibu kecewa, dakwa anak dapat ayam rentung dalam program makanan percuma
PROGRAM makanan percuma untuk kanak-kanak sepatutnya menyediakan hidangan berkhasiat dan sesuai untuk kanak-kanak, namun perkongsian seorang ibu mengenai makanan yang diterima anaknya mengundang perhatian ramai.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita dari Cibiru, Bandung, Indonesia berkongsi gambar hidangan yang diterima anaknya menerusi program Makanan Bergizi Gratis (MBG)
Apa yang menarik perhatian ialah bahagian ayam (paha) dalam hidangan tersebut kelihatan hangus, sehingga mencetuskan persoalan mengenai penyediaan makanan berkenaan.

"Anak aku dapat MBG untuk umur satu tahun. Katanya ayam bakar, tapi bentuknya seperti kebakaran. MBG anak kalian apa?" tulisnya dalam Threads.
Perkongsian tersebut mencetuskan kemarahan warganet yang menyelar kecuaian pihak Satuan Pelayanan Pemenuhan Gizi (SPPG), iaitu unit dapur komuniti yang bertanggungjawab menyediakan makanan tersebut kerana gagal memantau kualiti masakan sebelum diedarkan ke sekolah.
Ada yang mempersoalkan sama ada makanan seperti itu sesuai diberikan kepada anak kecil, selain menyentuh aspek penyediaan dan kualiti makanan.
Malah ada juga komen berbaur sindiran apabila mengatakan ayam tersebut diperoleh dari kebakaran hutan yang sedang melanda bahagian Kalimantan.
MENARIK DIBACA: Ratusan pelajar keracunan makanan lepas makan sajian percuma, ketua dapur dipecat
MENARIK DIBACA: Pelanggan kecewa... Pesan nasi, tomyam dan telur dadar tapi satu menu pun tak boleh makan!
"Fikir positif kak, itu menu terbaharu dari ahli gizi. Nama menunya ayam asap karhutla (kebakaran hutan dan lahan).
"Ayam ini dibakar dengan api asmara atau api neraka?
"Kalau ditegur tak diterima, jadi orang harus terima makanan 'sampah' begini?" komen beberapa netizen.
Isu mengenai program MBG hasil cetusan idea Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sering menjadi perhatian masyarakat sejak diperkenalkan pada 6 Januari 2025 apabila banyak kejadian membabitkan kesihatan timbul, selain kualiti makanan yang disediakan tidak menepati piawaian sepatutnya.
Pada Ogos lalu, ratusan pelajar sekolah menengah di Berastagi, Kabupaten Karo, Sumatera Utara, terpaksa menerima rawatan di hospital selepas disyaki mengalami keracunan akibat menikmati sajian percuma menerusi program MBG.

Menurut laporan, antara gejala dialami termasuk loya, muntah, pening dan badan terasa lemah sehingga menyebabkan mereka terpaksa dibawa ke beberapa pusat rawatan berhampiran.
Sebelum ini, beberapa pihak menggesa program makanan berkhasiat percuma itu ditangguhkan serta-merta ekoran isu kebersihan dan dakwaan salah laku rasuah.
Prabowo dalam satu kenyataan turut mengakui kewujudan masalah berkenaan dan berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Ketika ini, lebih 20 peratus kanak-kanak di Indonesia terkesan dengan masalah bantut akibat kekurangan zat makanan yang teruk.