RM100 seminggu beli bahan basah, suri rumah boleh masak 2 kali sehari - "Lunch paling kurang tiga menu"
PERCAYA atau tidak, nilai RM100 sebenarnya sudah mencukupi untuk membeli bermacam jenis bahan mentah dan keperluan dapur bagi lima individu untuk seminggu.
Seorang suri rumah dikenali sebagai Ameen Fami membuktikan dengan bajet yang agak 'ketat' dia masih mampu memasak pelbagai lauk untuk hidangan harian menggunakan bahan mentah dibeli.
Antara yang dibeli termasuklah ayam, makanan laut, sayur-sayuran dan minyak masak.
“Berbekalkan bajet RM100, Mameen dapat beli lima ekor ayam, 15 ekor udang besar jari telunjuk, 20 ekor sotong saiz L, enam ekor ikan mata besar, seekor ikan tongkol hitam.

“Sepeket kacang bendi, sepeket salad, sepeket pakchoy, cili merah, cili padi, 15 biji bawang besar dan tiga peket minyak masak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Wanita itu turut menyertakan gambar bahan-bahan yang dibeli bersama resit pembayaran sebagai bukti pembelian.
Berdasarkan resit yang dikongsikan, barangan tersebut dipercayai dibeli di sebuah pasar raya berdekatan Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Lebih mengujakan, semua bahan yang dibeli itu didakwa cukup untuk menyediakan hidangan harian bagi sebuah keluarga kecil.
MENARIK DIBACA: Ramai pelik harga barang dapur murah sangat, diskaun 'gila-gila' - “Ada apa sebenarnya?”
MENARIK DIBACA: Niat beli sikit, akhirnya penuh troli! Cuba teknik 5-4-3-2-1 elak 'lari' bajet ketika 'shopping'
“Sehari masak dua kali, tengah hari dan malam. 'Lunch' selalunya masak 'at least' tiga menu. Siapa yang 'follow' Mameen tau la macam mana Mameen masak,” katanya.
Dalam hantaran lain, suri rumah itu menjelaskan tujuan perkongsiannya adalah untuk memberi idea kepada orang ramai tentang cara berbelanja secara lebih berhemah khususnya kepada yang berkeluarga.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, perkongsian seperti ini dianggap membantu masyarakat untuk merancang bajet dapur dengan lebih bijak.
“Mameen kongsi pasal ni untuk bagitahu kalau kita jumpa kedai yang harga dia sangat berpatutan, kita patut 'share' pada orang sekeliling supaya mereka pun dapat berbelanja ikut bajet dengan gembira. Kuncinya, berbelanja dengan bijak,” katanya.

Namun, hantaran tersebut menerima reaksi bercampur-baur dalam kalangan netizen.
Ada yang menghargai perkongsian tersebut, namun ada juga yang mempersoalkan kesahihan jumlah dan kuantiti barangan yang dibeli.
“RM100? Mustahil. Kalau masa jualan murah tu mungkinlah.
“Terima kasih bagitahu lokasi pasar raya mana, nanti esok kami pergi serbu.
“15 ekor udang besar jari telunjuk tu betul ke? Aku tengok bil biasa 250 gram je. Mungkin jari baby kot," antara komen netizen.