Azfar Heri mohon maaf guna minyak masak paket, netizen pertikai alasan diberi
PEMPENGARUH dan usahawan, Azfar Heri tampil memohon maaf selepas tindakannya menggunakan minyak masak paket bersubsidi ketika terlibat dalam sebuah acara karnival di Wangsa Maju, tular.
Menerusi perkongsian di Threads, Azfar yang juga pengusaha Tendertown mengakui kesilapan tersebut berlaku disebabkan kecuaian pihaknya yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menurut Azfar, pihaknya sudah menyediakan stok barangan jualan termasuk minyak masak botol, tepung dan ayam mengikut anggaran keperluan setiap acara.
Bagaimanapun, jumlah stok yang disediakan ada kalanya tidak mencukupi apabila berdepan permintaan pelanggan yang tinggi.

"Bagi pihak Tendertown, saya memohon maaf atas kesilapan pasukan kami apabila menggunakan minyak masak paket semasa acara di Wangsa Maju (Sabtu).
"Untuk makluman, kami telah sediakan stok barangan jualan termasuk minyak botol, tepung dan ayam berdasarkan saiz acara. Ada hari stok cukup, ada hari tidak cukup bila permintaan tinggi.
"Bagi memastikan kelancaran operasi, kami sediakan wang tunai untuk pasukan beli barang tambahan dan segala resit pembelian diserahkan kepada pihak pengurusan selepas acara selesai," ujarnya menerusi kenyataan yang dikongsikan di media sosial pada Sabtu.
Jelasnya lagi, sepanjang terlibat dengan kira-kira 60 acara di seluruh Malaysia, pihaknya tidak pernah menggunakan minyak masak paket ketika berniaga.
Sebaliknya, kejadian di Wangsa Maju itu berlaku apabila petugas membeli minyak masak paket di kedai berhampiran kerana mahu segera menyiapkan pesanan pelanggan.
MENARIK DIBACA: Minyak masak dalam bungkusan plastik kualiti rendah? MPOB beri penjelasan
MENARIK DIBACA: Minyak paket bersubsidi dijual di Thailand cetus persoalan - "Nak beli di Malaysia punyalah susah"
Selepas dimaklumkan tentang perkara tersebut, Azfar memberitahu pihaknya telah membawa keluar semua minyak masak paket dari tapak acara dan digantikan dengan minyak masak botol.
"Sejurus isu ini dimaklumkan, kesemua minyak masak paket yang dibeli telah pun dikeluarkan serta merta dari tapak acara dan digantikan dengan minyak masak botol," tegasnya.
Dalam masa sama, Azfar turut berjanji akan memperkemaskan SOP bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Bagaimanapun, penjelasan tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mempersoalkan alasan pembelian minyak masak paket kerana mahu mengejar pesanan pelanggan.

Ada yang berpendapat alasan itu agak kurang munasabah memandangkan minyak masak botol boleh dibeli dengan cara lebih mudah tanpa perlu mendapatkan pengesahan pembelian berbanding minyak masak paket.
"Kalau rushing tak ambil paket sebab nak kena scan bagai, apa hal pula? Kalau rushing terus ambil minyak dalam botol. Macam tak logiklah alasan rushing itu.
"Rasanya nak beli minyak paket lagi leceh, kena scan, limit tiga paket je. Minyak botol lagi senang beli.
"Bukan keluarkan sahaja. Kena pulangkan dan buat bayaran balik. Sebab minyak itu boleh sahaja dibuka dan diisi dalam botol, jadi tiada beza," komen netizen.
Untuk rekod, minyak masak paket bersubsidi seberat satu kilogram (kg) yang dijual pada harga kawalan kerajaan dikhaskan untuk kegunaan domestik atau isi rumah sahaja dan bukannya untuk tujuan perniagaan.