Risau ibadat tak sah, wanita bawa baldi ke pasar elak najis bahan basah - "Duit baki pun boleh kena darah"
DALAM kehidupan harian, ramai mungkin hanya memberi tumpuan kepada kebersihan secara luaran tanpa menyedari aspek kesucian untuk keperluan ibadah juga penting.
Ketika membeli barang basah seperti ayam, ikan dan daging di pasar misalnya, situasi seperti darah meleleh, tangan kotor serta wang terkena najis sering dianggap perkara biasa.
Seorang pemilik akaun Threads tampil mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap soal taharah (suci dari najis) dan kebersihan bagi mengelakkan najis dari pasar menjejaskan ibadah solat.
"Beli barang basah bawa baldi siap-siap supaya tak meleleh darah dalam kereta. Sediakan duit yang cukup supaya tak dapat baki. Kena jaga pakaian kita, kereta kita daripada terkena najis darah barang basah ni," tulisnya.

Menurutnya lagi, orang ramai juga disarankan menyediakan air paip dalam kereta bagi memudahkan proses mencuci tangan sekiranya terkena darah ketika membeli barang basah.
"Paling orang terlepas pandang bab duit. Bekas tangan tukang potong lauk-lauk ni terlekat darah dalam keadaan basah, pegang duit nak bagi baki.
"Kita pun masuk duit dalam poket, kita tak sedar bawa solat. Solat tak sah sebab menanggung najis," katanya lagi.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai netizen yang berterima kasih kerana memberikan idea membawa paldi ke pasar, malah ada juga yang berkongsi amalan masing-masing dalam menjaga kebersihan serta mengelakkan najis daripada tersebar sehingga akhirnya terbawa dalam solat.
MENARIK DIBACA: Ramai isteri akui 'cut sugar' demi keluarga! Badan ringan, tak mengah buat kerja rumah dan mudah urus anak
MENARIK DIBACA: Wanita mengaku malas masak, cuma beri anak bijirin! Lebih jaga perut sendiri dan suami - "Sedihnya ada mak macam tu"
Seorang netizen berkata, dia sudah lama mengamalkan langkah berjaga-jaga dan kini turut mengajar isterinya mengenai kepentingan taharah.
"Jangan main-main bab taharah. Merebak dalam kereta nanti. Duit pun betul kena bagi cukup sebab kebanyakan pasar tak pakai QR lagi," ujarnya.
Malah, dia turut mendakwa ada premis yang sekadar mengelap darah pada kaunter pembayaran tanpa mencucinya dengan sempurna.
"Bukan soal yakin tak yakin, kalau benda tu zahir memang kotor nak yakin macam mana?" katanya.

"Betul bab ni ramai yang ambil ringan. Kita kena ingat bersih belum tentu suci tapi suci semestinya bersih. Macam tu juga masa basuh lauk basah yang berdarah kena tos dalam tapis bukan terus letak dalam mangkuk dan biarkan air darah berkumpul begitu saja.
"Najis dalam makanan jadi darah daging tu yang hati gelap sampai susah nak terima nasihat dan teguran," komen netizen lagi.
Ada juga netizen memaklumkan dia menyediakan plastik bekas khas dalam kereta untuk meletakkan barang basah selain mengasingkan wang baki yang diterima.
"Dalam kereta ada air botol untuk cuci tangan dan kaki sebelum masuk kereta.
"Baju yang pergi pasar basah tu saya cuci secara berasingan,” katanya.
Ada juga yang memilih menggunakan pembayaran QR atau pindahan wang secara dalam talian bagi mengurangkan risiko terkena najis darah.
"Saya memang sediakan kotak ais dalam kereta untuk barang basah macam ayam, ikan dan udang. Dalam kereta memang wajib ada air untuk basuh tangan tak adalah tangan kotor bila masuk kereta," komen lagi netizen.