Goreng nasi pakai sut, nakal kenyit mata! Peniaga pasar malam kacak raih RM32,000 sebulan
SEORANG pemuda yang berniaga nasi goreng di sebuah pasar malam sambil memakai sut lengkap menjadi perbualan netizen di media sosial.
Tidak hanya tampil kemas dan segak, gelagatnya melambung nasi sambil mengenyitkan mata berjaya menarik ratusan pelanggan ke gerainya setiap hari.
Memetik laporan media, pemuda dari China dikenali sebagai Lu itu pada mulanya memakai sut ketika memasak sekadar suka-suka kerana mahu kelihatan lebih kemas dan bergaya ketika berniaga.
Tanpa disangka, imej tersebut akhirnya menjadi identiti unik dirinya sehingga tular di media sosial.

Kini, Lu bukan sahaja memasak dengan rambut disikat rapi, malah sering melakukan aksi dramatik ketika menggaul nasi di dalam kuali.
Dia juga gemar melambung kuali dan membuat 'pose' berlebihan sehingga ramai menyamakan dirinya dengan watak tukang masak popular anime Jepun, Sanji dari One Piece.
Malah, setiap kali memuat naik video memasak di media sosial, Lu turut menggunakan tanda pagar #sanjifriedrice yang semakin popular dalam kalangan pengikutnya.
Popularitinya melonjak apabila pemuda berusia 19 tahun itu kini memiliki lebih 46,000 pengikut selain meraih sekitar 190,000 tanda suka di media sosial.
MENARIK DIBACA: Tinggalkan dunia glamor... 6 artis popular China jual makanan, jadi petani demi kelangsungan hidup
MENARIK DIBACA: China buka kolej BBQ... Penuntut belajar teknik kawal arang, 'skill' memanggang untuk dapat ijazah
Bukan sekadar menjual gaya dan aksi, nasi goreng dimasaknya juga dikatakan cukup sedap sehingga laris terjual lebih 200 pinggan sehari.
Menurut Lu, gerainya mencatatkan jualan bulanan sekitar 50,000 yuan (lebih kurang RM32,000) dengan keuntungan bersih mencecah 20,000 yuan (sekitar RM13,000).
Tetapi dia percaya pelanggan bukan datang semata-mata kerana tertarik dengan penampilannya, sebaliknya kembali semula kerana keistimewaan nasi goreng yang dijual.
“Mungkin mereka datang sebab rasa ingin tahu.
“Tapi yang buat mereka datang semula ialah rasa makanan itu sendiri,” katanya.