Seram tengok mata lembu dimasak rendang, rupanya punya khasiat sendiri - "Ada yang memerhati"
SETIAP kali daging korban diagihkan, penerima akan mendapat bahagian-bahagian popular seperti daging, tulang, hati atau perut.
Tapi jarang-jarang sekali kita lihat individu mendapat bahagian mata lembu, malah ada yang sangka organ itu tak boleh dimakan!
Sebenarnya, dalam masyarakat tertentu termasuklah di Malaysia, hampir semua bahagian haiwan ini boleh dimanfaatkan termasuklah bahagian mata.
Bagi umat Islam, mata lembu boleh dimakan asalkan haiwan itu disembelih mengikut syarak.

Di Threads, tular satu perkongsian yang mencuri perhatian ramai apabila seorang individu berseloroh mengenai rendang mata lembu.
Secara santai, dia memberitahu bahawa mata lembu yang dimasak itu boleh menajamkan penglihatan.
"Bini saya pesan kalau nak nampak dia dengan jelas banyakkan makan mata lembu. Nanti pandangan saya terhadap dia semakin jelas," guraunya.
Bersama kapsyen, lelaki tersebut turut berkongsi video memaparkan masakan di dalam kuali yang dikatakannya sebagai mata lembu.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada video tersebut adalah miliknya atau dikongsi semula.
MENARIK DIBACA: Rebus dengan daun salam, cara hilangkan bau hamis hati lembu
MENARIK DIBACA: Ada cara hilangkan bau hamis otak lembu, paling sedap dibuat gulai
Perkongsian itu mengundang perhatian netizen yang rata-ratanya terhibur dengannya.
"Tak berapa selesa skrol Threads ni, ada lembu memerhati.
"Seram nak masak sebab sambil masak, ada yang memerhati," antara komen netizen.
Sekadar info, seperti organ dalaman lain, mata lembu mengandungi nutrien tertentu seperti protein, zat besi dan vitamin B12.

Cumanya pengambilannya perlulah berpada, kerana kandungan kolestrol yang tinggi.
Sebelum dimakan, disarankan untuk pastikan ia masih segar sebelum dibasuh bersih dan dimasak sempurna.
Kalau nak cuba masak, atau nak habiskan bahagian daging korban tanpa membazir, mata lembu boleh dimasak dengan beberapa cara mudah.
Misalnya, sup mata lembu atau masak lemak cili padi.
Kedua-dua masakan ini lebih 'selamat' untuk tekak mereka yang pertama kali nak mencuba.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen perkongsian video sama di platform lain, terdapat individu mengakui pernah melihat mata lembu dimakan mentah kerana dipercayai dapat membantu mereka yang mempunyai masalah rabun.
"Petua orang dulu-dulu, ayah saya biasa minum air mata lembu tu katanya untuk cerahkan penglihatan.
"Arwah atuk amalkan makan mata lembu 'fresh' untuk kesihatan mata, matanya rabun jadi dia amalkan makan mata lembu.
"Betul sis saya pun pernah tengok. Masa raya korban, gitu je dia ambil makan," antara komen netizen.