Gadis Kelantan kena 'bahan' di kolej gara-gara cakap 'mi dah bengkak'
SETIAP negeri mempunyai dialek atau cara pertuturan sendiri yang kadangkala mencetuskan salah faham atau situasi lucu apabila bertutur dengan orang luar.
Seorang wanita Noratikah Shakeri yang berasal dari Kelantan tampil menceritakan pengalaman lucunya semasa menuntut di universiti.
Katanya, walaupun dia cuba bertutur dalam Bahasa Melayu baku ketika di universiti, dialek negeri kelahirannya tetap kedengaran.
Jelasnya, beberapa perkataan seperti 'bau', 'polis' dan 'klinik' sering mengundang gelak tawa dalam kalangan rakan-rakannya.
Bagaimanapun pengalaman yang paling mencuit hati berlaku ketika dia sedang menyediakan mi Siam di kolej kediaman.

"Pengalaman yang paling kelakar dan masih saya ingat sampai sekarang ialah waktu saya nak buat mi Siam.
"Selepas lima minit saya rendam dalam air panas, saya pun bagitau rakan sebilik saya 'mi kita dah bengkak'.
"Dalam dialek Kelantan apabila sesuatu yang direndam air menjadi mengembang atau kembang, kami kadang-kadang menggunakan perkataan 'bekok' yang bermaksud bengkak.
"Jadi saya terus 'direct translate' ke dalam Bahasa Melayu tanpa berfikir panjang. Lepas saya sebut 'mi dah bengkak', rakan sebilik terus gelak. Mereka usik saya cakap 'mek belasah mi tu ke sampai dah bengkak dah dia'," kongsinya.
MENARIK DIBACA: Selalu makan tapi tak tahu nama... Kenali 4 bahagian perut lembu, menu sesuai dimasak
MENARIK DIBACA: Nenek suka bagi makanan manis, ibu sebak gigi anak rosak - “Aku mak yang gagal”
Sehingga kini, dia menganggap kejadian itu sebagai antara kenangan paling lucu sepanjang fasa awal kehidupannya sebagai pelajar.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang berkongsi pengalaman hampir sama melibatkan perbezaan dialek.
"Saya kahwin dengan orang Johor. Mak mentua saya cuba sedaya upaya bila sembang dengan saya nak cakap loghat Kelantan.

"Ada satu masa tu dapat buah pelam, mak mentua terus 'translate' pelam ke loghat Kelantan. Dia cakap, 'Mek, mari makey buoh peley ni'.
"Banyak kali dia sebut perkataan tu. Bila saya betulkan buah pelam dalam loghat Kelantan ialah 'pauh' dan perkataan yang dia sebut tadi membawa maksud lain, terus terkejut dan mengucap," tulisnya.
Seorang lagi netizen turut berkongsi pengalaman apabila cuba bertanya mengenai penggunaan perkataan 'pauh' dalam kalangan masyarakat Kelantan.
"Saya pernah tanya seorang wanita Kelantan di Facebook kenapa panggil buah pauh, kenapa tak panggil buah pelam?
"Dengan nada ingin tahu saja tapi saya kena block. Tak lama lepas tu baru saya sedar kenapa saya kena block," katanya.
Selain itu, ada juga yang mengimbau penggunaan istilah 'tiyok jagung' (putik jagung) yang biasa difahami oleh masyarakat Pantai Timur.
"Sebagai orang Pantai Timur saya faham saja 'tiyok jagung' tu apa. Tapi yang tanya pasal 'tiyok jagung' tu lupa dia duduk di selatan tanah air. Kesian kawan dia," tulis seorang netizen.