Ramai bekas pesakit kenang keenakan makanan HSB, bersorak dengar bunyi troli - "Jiran tak makan, saya minta"
MAKANAN hospital yang disediakan untuk pesakit sering dikaitkan dengan rasa hambar dan kurang menyelerakan.
Bagaimanapun lain pula dengan Hospital Sungai Buloh (HSB) apabila seorang wanita tampil di Threads bertanyakan resipi lauk ikan yang pernah dimakan ketika menerima rawatan selepas bersalin.
Menurut wanita itu, hidangan ikan berkenaan mempunyai rasa masam manis yang cukup menyelerakan, malah sehingga kini dia masih terkenang-kenang keenakannya.

"Wahai Hospital Sungai Buloh. Dalam mangkuk tu ikan tu resipi apa ye? Kita bersalin tahun lepas teringat-ingat lauk ni.
"Sedap betul rasa. Rasa masam-masam manis. Tu sayur tu pun sayur apa ya? Labu air ke timun? Teringat-ingatlah lauk ni sedap," tulisnya.
Wanita itu turut memuat naik foto hidangan berkenaan yang terdiri daripada lauk ikan berwarna gelap bersama sayur yang disajikan di Hospital Sungai Buloh.
Menurut seorang individu, hidangan dalam gambar yang dikongsi adalah ikan dory masak masak manis dan sayur labu air masak air.
MENARIK DIBACA: Program makanan percuma bertukar tragedi, ratusan murid dikejarkan ke hospital lepas makan daging
MENARIK DIBACA: Ada lipas, najis tikus! Kafe hospital swasta kotor diarah tutup serta-merta
Perkongsian tersebut mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya mengakui keenakan makanan yang disediakan hospital berkenaan.

"Lauk HSB sedap tau, saya suka. Masa bersalin, jiran sebelah katil makan nasi je, dia kata sayur ni angin, ikan tu tak elok. So saya ambil dia punya, saya makan (dengan izin) sedap wey. Malam tu saya tidur lena, jiran sebelah kena gastrik, sebab tengok dia muntah-muntah perut kosong.
"Makanan HSB memang sedap. Kami mak-mak yang 'stay' lebih sebulan dalam wad siap bersorak bila dengar bunyi troli.
"Saya ingat saya seorang je yang teringat makanan kat Hospital Sungai Buloh. Lepas bersalin memang tak tolak makanan hospital. Sedap betul. Tahniah HSB," demikian puji netizen.
Dalam pada itu ada juga yang berkongsi sajian lain yang dilabelkan sebagai enak seperti ikan masak pindang, nasi ayam 'roasted', nasi goreng dan kopi susu.
"Dalam banyak-banyak resipi F&B Hospital Sungai Buloh, yang paling saya nak tahu adalah resipi kopi susu. Sedap gila," kata seorang individu.
Malah ada juga individu berkongsi bahawa dapur di hospital kerajaan sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan penyediaan makanan mengikut standard yang ditetapkan.
"Saya dulu kerja dengan syarikat 'piping gas'. Jadi banyak la melawat dapur. Selain sedap, dapur kat hospital-hospital kerajaan Malaysia ni bersih ye. Dari hospital besar, sampailah hospital daerah. Kagum!