'Skill' memasak 'A', ramai kagum pelajar IPT rajin masak untuk rakan serumah - "Auto nampak segak"
BAGI kebanyakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), waktu selepas tamat kuliah selalunya dimanfaatkan untuk berehat, menyiapkan tugasan atau meluangkan masa bersama rakan-rakan.
Lain pula rutin seorang pelajar politeknik ini kerana memilih untuk terus ke dapur bagi menyediakan hidangan buat rakan serumahnya.
Perkongsian seorang pemuda mengenai rutin hariannya di media sosial mencuri perhatian ramai apabila memaparkan sisi dirinya yang bukan sahaja rajin memasak tetapi juga mementingkan kebersihan rumah sewa.
Menerusi video dimuat naik di TikTok, pelajar berkenaan dilihat memulakan rutin dengan membersihkan ruang dapur sebelum menyediakan bahan-bahan masakan.

Baginya, kebersihan dapur menjadi keutamaan sebelum aktiviti memasak dimulakan agar proses penyediaan makanan berjalan dengan lebih selesa dan teratur.
Selepas memastikan ruang memasak berada dalam keadaan bersih, dia kemudian menyediakan hidangan untuk dinikmati bersama rakan-rakan serumah sebaik sahaja selesai kelas.
Lebih mencuri perhatian, menerusi ruangan komen individu itu turut memberitahu dirinya sudah biasa masuk ke dapur sejak berusia 12 tahun.
MENARIK DIBACA: [V] Hantar makanan sambil menari 'all out', pelayan restoran buat pelanggan terlopong!
MENARIK DIBACA: Ramai serik ambil minuman detoks, usus menipis 'dipaksa' buang air besar - "Percaya sangat berak boleh buang lemak"
Perkongsian itu meraih perhatian warga maya yang rata-ratanya memuji sikap bertanggungjawab dan ringan tulang ditunjukkan pelajar berkenaan.
"Biar tak handsome, paling penting 'skill kacak', auto nampak segak.

"Siapa la mak awak dik? Terbaik sangat, kirim salam mak ye.
"Potong bawang jangan pandang kami dik, risau.
"Cara potong bawang A+++.
"Mantap dik,pandai masak lepas tu terus kemas. Cara potong bawang tu,fuh kalah akak yang dah 15 tahun kahwin ni," antara komen netizen.
Ramai berpendapat amalan seperti itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama rakan serumah, malah mampu mengurangkan perbelanjaan makan di luar yang semakin meningkat.
Tidak kurang juga yang mengakui berasa tersentuh melihat masih ada mahasiswa sanggup meluangkan masa dan tenaga menyediakan makanan untuk orang lain walaupun sibuk dengan jadual pengajian.