Bukan mentah! Ini alasan kebanyakan nasi di Kelantan berderai, keras
NASI cukup sinonim dengan makanan rakyat Malaysia tetapi tidak dinafikan setiap orang mempunyai tekstur kegemaran, sama ada lembut dan sedikit melekit atau berderai serta tidak mudah dikepal.
Perbezaan tekstur ini mencuri perhatian seorang pengguna Threads yang berasa agak terkejut ketika makan nasi di Kelantan.
“Maaf nak tanya. Orang Kelantan memang makan nasi keras ya? Macam nasi jelantah rasanya sebab rata-rata beli nasi, baik nasi air dingin atau masakan panas semua macam ini.

“Mungkin sebab beras. Rasa macam tak ditanak nasi, cuma rendam sampai kembang. Menangis saya makan hari ini sebab memang tak boleh telan,” soal individu ini.
Hantaran tersebut pantas mengundang pelbagai reaksi warganet.
Individu berkenaan kemudian berkongsi penjelasan selepas mengetahui salah satu puncanya adalah penggunaan beras Siam.
MENARIK DIBACA: Wanita kongsi minum air sarsi bantu legakan demam, ramai mengaku dah berzaman amal petua sama
MENARIK DIBACA: Ketahui fakta menarik kelapa, dari mana datangnya air dalam buah?
“Saya baru tahu peniaga pakai beras Siam sebab tak mudah basi. Nasi bungkus air dingin juga banyak dihantar sampai luar negeri,” jelasnya.
Menurut beberapa netizen, penggunaan beras Siam sememangnya menghasilkan nasi lebih keras dan berderai berbanding jenis beras tempatan tertentu yang menghasilkan tekstur lebih lembut.
“Orang Kelantan guna beras Siam memang berderai. Kalau beras Malaysia jenis lembik.

“Orang Kelantan kebanyakannya pakai beras Siam. Jadi kualiti nasi lebih kurang macam ini. Tapi ada juga tambah dengan beras wangi, bergantung pada kedai.
“Kami makan beras keras tapi mahal sikit. Tak makan beras lembik, nak telan susah.
“Saya suka nasi berderai macam ini, walau saya asal KL.
“Bagi saya puas makan nasi macam ini dan cepat kenyang. Saya bukan orang Kelantan tapi suka nasi berderai. Tak suka nasi melekit, baik makan bubur,” komen netizen lagi.