Diet Haaland jadi perhatian... Norway angkut ratusan kilogram ikan, keju ke kem latihan di AS
BAGI peminat bola sepak, nama Erling Haaland sememangnya sinonim dengan kekuatan fizikal luar biasa, kepantasan serta kemampuan menjaringkan gol yang sukar ditandingi.
Tidak hairanlah ramai yang tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik prestasi dimiliki penyerang dari Norway itu.
Menurut beberapa laporan, Haaland mengamalkan diet ala masyarakat Viking terdahulu yang memberi penekanan kepada makanan semula jadi yang padat nutrisi.
Viking merujuk kepada identiti warisan sejarah dan semangat kepahlawanan yang kini menjadi tema utama kempen publisiti skuad Norway untuk Piala Dunia 2026.
Antara yang paling menarik perhatian ialah pengambilan hati dan jantung haiwan, yang dianggap antara makanan paling berkhasiat.

Memang tidak dinafikan organ dalaman seperti hati dan jantung merupakan 'superfood' yang kaya dengan zat besi, vitamin B12, vitamin A, selenium dan zink.
Kandungan zat besi yang tinggi membantu meningkatkan penghasilan sel darah merah bagi membawa oksigen ke seluruh tubuh, sekali gus meningkatkan stamina dan daya tahan ketika beraksi selama 90 minit.
Selain itu, vitamin B12 pula penting dalam penghasilan tenaga, fungsi saraf serta membantu proses pemulihan otot selepas latihan intensif.
MENARIK DIBACA: Bekas cef peribadi dedah diet, menu harian Ronaldo! Sukar orang biasa nak ikut
MENARIK DIBACA: Puasa bukan halangan beraksi, ini cara liga top dunia beri ruang pemain Muslim berbuka
Pemakanan sebegini turut dipercayai membantu mempercepatkan proses pemulihan badan, mengurangkan keletihan serta memastikan prestasi kekal pada tahap optimum sepanjang musim yang padat.
Pengambilan protein berkualiti tinggi pula membantu pembinaan otot dan mengekalkan kekuatan fizikal yang menjadi senjata utama pemain berusia 25 tahun itu.
Haaland juga sangat cerewet tentang sumber makanannya. Dia menolak daging daripada restoran makanan segera dan hanya memilih organ daripada lembu tempatan yang diberi makan rumput semula jadi.
Menariknya, penekanan terhadap nutrisi optimum bukan hanya diamalkan oleh Haaland secara individu.

Bagi kempen Piala Dunia 2026, skuad Norway dilaporkan membawa kira-kira 300 kilogram (kg) ikan, 116kg keju ikonik 'Brunost' dan 6,000 biji buah oren ke kem latihan mereka di Greensboro, North Carolina, Amerika Syarikat.
Ikan yang dibawa adalah jenis salmon Atlantik dan ikan kod berkualiti tinggi dari perairan laut Nordik.
Jumlah yang luar biasa itu membuktikan bahawa dalam bola sepak moden, pemakanan dan nutrisi dianggap sama penting dengan latihan taktikal.
Malah, ramai pakar sukan berpendapat prestasi cemerlang sesebuah pasukan tidak lagi hanya bergantung kepada bakat semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh pemulihan badan dan pemakanan yang tepat.