Snek nostalgia, emping padi makan bersama kelapa nampak ringkas tapi sedap
TIDAK ramai mengenali sejenis kudapan atau makanan ringan tradisional iaitu emping yang diperbuat daripada padi muda dengan cara disangai lalu ditumbuk sehingga pipih atau nipis.
Di semenanjung Malaysia, emping popular dalam kalangan pesawah terutama di negeri bahagian utara khususnya Kedah dan Perlis.
Selain itu, emping juga popular di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan, tepatnya di daerah yang bersawah.
Dari segi rasa, emping yang dimakan ketika musim menuai ini mempunyai tekstur rangup dengan aroma padi muda yang asli dan wangi, berlemak dan sedikit rasa manis selepas digaul dengan kelapa parut serta gula.
Berikut Kuali kongsikan bahan-bahan dan langkah penyediaan untuk membuat emping.

Bahan-bahan
- Padi muda (padi biasa atau padi pulut)
- Gula (gula pasir, gula enau atau gula Melaka)
- Kelapa parut (bahagian putih)
- Garam (secukupnya)
MENARIK DIBACA: Pucuk paku boleh tanam dalam pasu... Selain buat kerabu, ini 6 idea sajian lain
MENARIK DIBACA: Kenapa bahan masakan ditumbuk guna lesung batu lebih sedap berbanding kisar?
Langkah penyediaan
- Padi diasingkan dari tangkai lalu disangai tanpa minyak (jangan hangus).
- Kemudian padi yang telah disangai ditumbuk dengan lesung kayu hingga pipih atau leper sebelum ditampi untuk membuang kulitnya.
- Masukkan emping padi yang telah ditumbuk tadi ke dalam mangkuk lalu campurkan dengan gula, kelapa parut dan garam secukupnya.
- Sedia untuk dinikmati bersama kopi 'O' sebagai pelengkap.
Hari ini, emping masih dinikmati di beberapa kawasan bersawah padi walaupun makanan ringan ini sudah tidak lagi sepopular dahulu.
Pada 2015, emping telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan dan dikategorikan sebagai Objek Warisan Tidak Ketara (kategori makanan) oleh Jabatan Warisan Negara.
Pengiktirafan ini diberikan bagi memelihara keunikan tradisi pesta mengemping serta memastikan warisan makanan masyarakat pesawah ini terus dikenali oleh generasi muda.