3 kali disebut dalam al-Quran, ini 6 sebab buah delima dianggap 'superfood'
BUAH delima tergolong dalam buah-buahan sunah yang terkenal dengan khasiatnya sebagai agen kecantikan semula jadi.
Seorang pengguna Threads mendedahkan buah berwarna merah itu sebenarnya bukan sekadar baik untuk kecantikan, malah mempunyai pelbagai manfaat kesihatan yang tidak diketahui ramai.
"Sampai sekarang saya masih pelik kenapa buah delima (pomegranate) ni tak sepopular strawberi, blueberry atau epal sedangkan manfaatnya memang banyak.
"Saya pernah buat kajian tentang buah ni sebab tertanya-tanya kenapa delima disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran. Sejujurnya saya rasa rugi kalau tak mula amalkan jus buah ni," katanya.
Berikut enam manfaat buah delima dan mengapa ia dianggap 'superfood' (padat nutrisi):

1. Kaya antioksidan
Delima mengandungi 'punicalagins' dan 'polyphenols', antioksidan yang sangat kuat.
Jus delima dilaporkan mempunyai sehingga tiga kali ganda lebih banyak antioksidan berbanding teh hijau dan wain merah.
“Fungsinya untuk lindung sel badan daripada radikal bebas dan tekanan oksidatif yang jadi penyebab kanser,” ujarnya.
2. Menyokong kesihatan jantung
Pengambilan jus delima secara konsisten boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Menurutnya, delima membantu mengurangkan keradangan salur darah dan mengurangkan pembentukan plak pada arteri.
“Study lain pun tunjuk delima boleh improve peredaran darah ke otot jantung dalam pesakit coronary heart disease,” katanya.
MENARIK DIBACA: Bukan sekadar sedap dibuat jus, buah delima agen penghasil kolagen wajah
MENARIK DIBACA: 7 makanan sunah ini bantu kawal diabetes... Kajian penyelidik turut sahkan nutrisi, keberkesanannya
3. Membantu melambatkan penuaan dan pemulihan otot
Delima membantu menghasilkan Urolithin A melalui bakteria baik dalam usus.
Sebatian ini menyokong pembaharuan mitokondria, iaitu kilang tenaga sel.
Berpotensi membantu melambatkan penuaan dan mempercepatkan pemulihan otot selepas bersenam.
4. Baik untuk otak dan memori
Kajian menunjukkan jus delima boleh membantu meningkatkan memori visual dan verbal.
Jelasnya, antioksidan polyphenol membantu melindungi sel otak daripada kerosakan sekali gus, menyokong fungsi otak apabila usia meningkat.
“Ada masalah 'goldfish memory' atau otak selalu 'foggy'? Kajian dah tunjukkan buah delima ni sangat 'neuroprotective',” jelasnya.

5. Diabetes dan rintangan insulin
Kajian mencadangkan ekstrak delima berpotensi membantu mengurangkan keradangan, pengumpulan lemak dan rintangan insulin.
Bagaimanapun, kajian lanjut khususnya dalam kalangan manusia masih diperlukan bagi mengesahkan keberkesanannya.
6. Batu karang dan buah pinggang
Satu kajian mendapati pengambilan ekstrak delima selama 90 hari membantu mengurangkan pembentukan kalsium oksalat, antara punca utama batu karang.
Berpotensi menyokong kesihatan buah pinggang bagi individu yang kerap mengalami batu karang.