Tip makan bawang putih mentah... Kurang rasa pedas, bau pun tak kuat sangat
BAWANG putih bukan sahaja menjadi bahan penting dalam masakan malah turut dianggap mempunyai pelbagai manfaat kesihatan termasuk membantu mengawal paras kolesterol.
Justeru, tidak hairanlah kalau ada yang memilih untuk mengamalkan makan bawang putih mentah sebagai rutin pada waktu pagi.
Seorang pengguna Threads, Fadhli Noor, sebelum ini berkongsi maklumat berkaitan makan bawang putih setiap hari.

Menurut Fadli, amalan mengambil bawang putih mampu membantu meningkatkan kecergasan dan mengelakkan rasa sukar fokus.
Dia turut berkongsi mengenai allicin yang dikatakan dapat membantu melegakan salur darah serta menyokong tekanan darah yang terkawal.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang berkongsi pandangan mereka tentang pengamalan makan bawang putih.
"Mulut tak bau ke bang kalau kunyah bawang putih mentah?" komen seorang pengguna.
Selain itu, ada juga komen pengguna yang menyarankan untuk melenyekkan dahulu bawang sebelum ditelan.
Seorang netizen berkongsi cara mudah dengan meletakkan beberapa ulas bawang putih dalam periuk ketika menanak nasi.

Ada komen netizen yang mencadangkan untuk mencampurkan bawang putih dengan madu supaya dapat mengurangkan bau dan rasa secara langsung.
"Saya amalkan salai dulu bawang putih lepas tu tumbuk-tumbuk.
"Haa telan dengan air.
"Tak menderita sangat mengunyah tu," antara komen pengguna.
MENARIK DIBACA: Kelapa tampuk merah dipercayai banyak kelebihan, baik untuk pesakit kanser jalani kemoterapi
MENARIK DIBACA: Ketahui fakta menarik kelapa, dari mana datangnya air dalam buah?
Satu lagi cara yang dicadangkan seorang netizen adalah dengan menyimpan beberapa ulas bawang putih di dalam peti sejuk beku terlebih dahulu.
Katanya, bawang putih boleh dikeluarkan keesokan harinya, dikupas dan dibiarkan sehingga cair sebelum dimakan.
"Esok awak nak makan, ambil dari freezer, kopek kulit, letak tepi sekejap biar hilang bekunya. Boleh makan kalau dah cair, baru tak pedas lagi," katanya.
Walaupun ramai berkongsi pengalaman positif selepas mengamalkan bawang putih, pengambilannya secara berlebihan tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan perut atau pedih ulu hati bagi sesetengah individu.
Jadi, bagi yang ingin mencuba bawang putih mentah, tidak semestinya perlu menelannya begitu sahaja.
Apa kata cuba campurkan dalam makanan, potong kecil atau gunakan cara yang dikongsikan supaya rasanya lebih mudah diterima.