Wanita kongsi petua nelayan, penjual ikan.... Seafood, daging kekal segar lepas sebulan
MENYIMPAN barang basah seperti ikan, udang dan ayam dalam peti sejuk sebenarnya memerlukan teknik betul.
Kebanyakan bahan tak terus dimasak selepas dibeli, jadi cara penyimpanan yang betul akan pastikan ia kekal segar.
Kalau silap cara menyimpannya, bukan setakat tekstur berubah, silap hari bulan bahan-bahan itu akan bau hanyir.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, Noor Hafiza Mohamad terdapat cara efisien untuk simpan bahan basah.

Malah, teknik ini dikatakan mampu membuatkan ikan, daging dan ayam tahan sampai sebulan tanpa menghilangkan rasa manis semula jadi protein.
"Saya dapat tip ini dari nelayan, pengusaha medan ikan bakar, peniaga ikan dan suri rumah yang dah ada pengalaman.
"Memang boleh guna cara biasa, siap potong dan cuci baru simpan. Tapi rasanya memang lain, kemanisan protein tu dah tak sama macam baru beli,” katanya.
Jelasnya, setiap jenis makanan laut atau daging perlu disimpan dengan teknik tertentu, sama ada dalam bekas bertutup atau plastik kedap udara seperti berikut:
MENARIK DIBACA: Jangan panik minyak habis, ini petua masak telur dadar guna daun pisang
MENARIK DIBACA: Masak nasi memang tak susah, tapi ikut petua ini agar hasilnya lembut dan gebu
- Ikan berkulit lembut seperti tongkol, kembung dan selar: Rrendam penuh dalam air sebelum dibekukan supaya tidak kecut.
- Ikan bersisik seperti cencaru, kerisi, siakap, susu, gelama: Juga disimpan dalam air.
- Sotong: Boleh direndam dalam air atau ditabur sedikit gula.
- Udang laut besar: Rendam sepenuhnya dalam air.
- Udang kecil: Gaul dengan gula supaya tidak hitam dan mudah diambil separuh.
- Daging lembu dan ayam: Disimpan tanpa dicuci. Darah berfungsi melindungi daging daripada cepat busuk, elakkan terkena air semasa menyimpan.
Tambahnya lagi, mereka yang mempunyai 'freezer' bersaiz besar boleh menyimpan stok untuk sebulan.
"Kalau ada peti sejuk kecil, stok pun untuk satu minggu sahaja. Boleh je guna cara biasa, siap potong dan cuci baru disimpan namun ada beza kemanisan protein tu semua dah tak sama seperti baru beli," katanya.
Dia turut berpesan bahawa setiap amalan pengurusan dapur, perlu disesuaikan mengikut rutin, saiz keluarga, saiz peti sejuk, kekerapan memasak dan aspek lain.
"Petua ni hanya sebagai panduan. Berjaya atau tidak sesuatu tip bukan semata-mata tip yang salah, mungkin juga ada faktor lain contohnya beli barang basah yang dah tak segar," katanya.