Perlahan-lahan hilang di pasaran, ini sebenarnya berlaku kepada sos 'legend' Aminah Hassan
BENARLAH kata orang, lidah itu lebih tajam daripada mata pedang.
Kata-kata dan fitnah yang tidak berasas mampu menjatuhkan sebuah empayar yang dibina dengan susah payah selama bertahun-tahun.
Situasi itulah yang didakwa berlaku kepada jenama sos tempatan, Aminah Hassan, keluaran Amisan Produk M Sdn Bhd yang pernah menjadi antara sos paling popular di Malaysia era 1980-an dan 1990-an.
Suatu ketika dahulu, hampir setiap dapur boleh dikatakan mempunyai botol sos jenama Aminah Hassan.
Tapi lama-kelamaan produk keluaran Aminah Hassan semakin menghilang dari pasaran, didawa angkara fitnah yang dilemparkan terhadap syarika ini.

Bermula daripada resipi buatan sendiri
Sejarah Aminah Hassan bermula pada 1966 apabila pasangan suami isteri, Hajah Aminah dan Haji Hassan memulakan perniagaan menghasilkan kicap dan sos secara kecil-kecilan di Kampung Merdeka, Batu Pahat, Johor.
Menariknya, sos cili yang kemudian menjadi produk ikonik syarikat itu pada asalnya hanya dibuat untuk kegunaan sendiri.
Apabila sos tersebut mendapat pujian daripada keluarga, jiran dan rakan-rakan, beliau mula mempelajari teknik pemprosesan yang dapat memanjangkan jangka hayat produk sebelum memasarkannya secara lebih meluas.
Bermula dengan menghasilkan sos cili, perniagaan itu berkembang dengan pengenalan pelbagai produk lain seperti kicap, sos tiram, sos kacang dan sos lada hitam.
Usaha berterusan pasangan pengasas itu akhirnya membuahkan hasil apabila jenama tersebut muncul sebagai antara produk tempatan yang menjadi pilihan ramai menjelang era 1990-an.
Bukan itu sahaja, produk keluaran syarikat itu turut berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk di Asia Barat, United Kingdom dan Australia.
Rasa sos dan kicap yang menepati selera dan 'tekak' masyarakat Melayu menjadi antara faktor utama kejayaan jenama tersebut.
MENARIK DIBACA: Pernah pinjam ah long demi kelangsungan perniagaan, kini AMK Group mula kuasai pasaran makanan segera
MENARIK DIBACA: Goreng nasi pakai sut, nakal kenyit mata! Peniaga pasar malam kacak raih RM32,000 sebulan
Jatuh angka fitnah
Perjalanan syarikat itu bagaimanapun mula berubah selepas pemergian pengasasnya, Hajah Aminah pada 2 September 2009 akibat sakit tua.
Selepas itu, syarikat berdepan kemerosotan jualan sehingga operasi terpaksa dihentikan akibat kerugian.
Menurut beberapa sumber, ketika itu tersebar khabar angin yang mendakwa syarikat Aminah Hassan telah dijual dan kemudian dimiliki oleh syarikat milik bangsa asing.
Walaupun dakwaan tersebut tidak pernah dibuktikan, khabar angin berkenaan dikatakan memberi kesan kepada keyakinan sebahagian pengguna, khususnya pelanggan Muslim.

Selepas sekian lama menyepi, Amisan Produk M Sdn Bhd akhirnya kembali beroperasi bagi menghidupkan semula jenama yang pernah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Usaha tersebut diterajui oleh anak perempuan pengasas, Hajah Nor Aini Hassan, bersama suaminya, Haji Zainal Abidin Abdullah, yang bertekad meneruskan legasi keluarga serta memenuhi permintaan peminat setia Aminah Hassan.
Menurut laporan, pihak syarikat turut tampil menjelaskan bahawa dakwaan kononnya syarikat telah dijual kepada pihak lain adalah tidak benar.
Menurut mereka, syarikat tidak pernah bertukar pemilikan, sebaliknya hanya menghentikan operasi buat sementara waktu sebelum kembali menyusun semula perniagaan.
Kini, produk Aminah Hassan kembali berada di pasaran dan boleh didapati di pelbagai pasar raya di seluruh negara.