Lelaki masih simpan botol susu zaman bayi sejak 1976, kesan Milo nampak jelas
KITA selalu dengar ramai individu menyimpan baju, patung mainan atau bantal busuk sebagai kenangan zaman kanak-kanak.
Bagaimanapun lain pula kisah seorang pengguna Threads, @Dr.zamil9898, apabila dia menyimpan botol susu yang digunakan ketika masih bayi sehingga kini.
Lebih mengejutkan, botol susu kaca itu bukan sahaja disimpan selama lebih 50 tahun, malah tidak pernah dibasuh sejak kali terakhir digunakan kerana ingin dijadikan kenangan.

Menerusi hantaran tersebut, lelaki berusia 56 tahun itu berkata botol susu berkenaan kali terakhir digunakan pada 6 Januari 1976 di Junjung, Kedah.
"Umur saya 56 tahun dan masih simpan botol susu terakhir saya. Botol kaca. Kali terakhir hisap 6/1/1976 di Junjung, Kedah.
"Selepas 50 tahun, masih ada kesan Milo yang sengaja arwah emak dan bapa tak basuh buat kenangan," tulisnya.
Dalam perkongsian itu, dia turut memuat naik gambar botol susu kaca berkenaan yang masih utuh walaupun warnanya sudah bertukar kekuningan disebabkan faktor usia.
MENARIK DIBACA: Cara betul cuci botol susu bayi tanpa guna sterilizer, tak cukup basuh guna sabun je!
MENARIK DIBACA: Tak perlu sabun tapi guna air rebusan daun sirih, cara tradisional cuci puting botol susu anak
Menurutnya, tradisi menyimpan botol susu sebagai kenangan diteruskan ke generasi seterusnya apabila dia turut menyimpan botol susu milik empat anaknya.
"Yang empat botol lagi tu, empat orang anak yang punya. At least, selepas saya mati nanti, ada kenangan untuk dikenang oleh waris-waris. Ada yang simpan lagi?" katanya.
Perkongsian tersebut mencuri perhatian warga maya yang rata-rata menganggap tindakan itu sangat unik dan jarang dilakukan.

"Inilah rupa botol kaca mak cakap. Mak umur 64. Dulu masa umur lima tahun tak percaya mak cakap opah bancuh susu dalam botol kaca.
"Tak sangka ada yang simpan botol susu untuk memori.
"Ini sungguh 'rare'. Kami buang je," antara komen netizen.