Duduk terlalu lama di pejabat punca gemuk! Kerap minum air bantu turun berat badan
BEKERJA di pejabat sering kali menyebabkan kita terdedah kepada gaya hidup kurang sihat.
Malah, duduk terlalu lama tanpa bergerak boleh menyebabkan berat badan naik walaupun makan sedikit sehaja.
Namun begitu, dengan sedikit perubahan gaya hidup, anda sebenarnya masih boleh mengawal berat badan tanpa perlu berlapar atau berpantang ekstrem.
Berikut adalah lima tip diet mudah yang boleh diamalkan terutamanya bagi mereka yang berkerja di pejabat:

1. Kunyah makanan perlahan-lahan
Ramai yang tidak sedar bahawa mengunyah dengan perlahan membantu mengawal berat badan.
Ini kerana otak memerlukan masa untuk memproses isyarat kenyang daripada perut.
Kajian menunjukkan bahawa apabila kita mengunyah dengan lebih perlahan, kita cenderung untuk makan dalam jumlah yang lebih sedikit, dan rasa kenyang juga lebih cepat dirasai.

2. Guna pinggan kecil
Ini adalah helah psikologi yang terbukti berkesan — gunakan pinggan yang lebih kecil, terutamanya ketika makan makanan berkalori tinggi seperti pasta, nasi atau lauk bergoreng.
Apabila makanan dihidangkan dalam pinggan kecil, otak akan ‘melihat’ jumlah itu sebagai mencukupi, sekali gus membantu anda mengurangkan pengambilan kalori tanpa berasa lapar.

3. Makan banyak protein
Protein merupakan nutrien penting dalam proses penurunan berat badan. Ia membantu meningkatkan rasa kenyang, mengurangkan selera makan, serta meningkatkan kadar metabolisme badan.
Kajian mencadangkan pengambilan sehingga 1.6g protein per kilogram berat badan dapat membantu penurunan berat badan sambil mengekalkan jisim otot.

4. Masak makanan sendiri
Daripada kerap makan di luar atau memesan makanan segera, biasakan diri untuk menyediakan makanan sendiri di rumah.
Selain lebih jimat, anda juga dapat mengawal bahan-bahan yang digunakan serta saiz hidangan.
MENARIK DIBACA: [V] Bau dan aromanya buat perut berkeroncong, ini resipi ayam pedas daun kesum
MENARIK DIBACA: Jom kenali 10 jenis cendawan, bukan jenis tiram dan butang saja enak dimakan
Kajian pada tahun 2020 menunjukkan bahawa mereka yang lebih kerap memasak di rumah cenderung mempunyai berat badan yang lebih sihat berbanding mereka yang kerap makan di luar.

5. Minum air dengan kerap
Petua ini sering dipandang ringan, tapi minum air secukupnya sangat penting dalam proses penurunan berat badan.
Menurut satu kajian pada tahun 2018, minum air sebelum makan boleh membantu mengurangkan jumlah makanan yang diambil tanpa menjejaskan rasa kenyang.
Malah, dehidrasi juga boleh disalah tafsir oleh otak sebagai rasa lapar.