KUALI | Nutrisi

Kacang botol antara 6 ulam terbaik ketika diet, bunga telang pula bantu kuatkan memori

Lead Image

KATA orang, jika kerap makan ulam, wajah akan awet muda, maka tidak hairan jika nenek sudah berumur tetap tampak segar, berseri dan bertenaga.

Ulam bukan sekadar pelengkap hidangan, tapi ibarat rahsia kecantikan dan kesihatan semula jadi diwarisi turun-temurun kerana kaya dengan kandungan antioksidan, vitamin, dan serat.

Patutlah orang dulu-dulu jarang kena penyakit kronik. Mereka makan apa ditanam segar dari kebun belakang rumah tanpa bahan pengawet atau pemprosesan berlebihan.

Ulam bukan sekadar pelengkap hidangan, tapi ibarat rahsia kecantikan dan kesihatan semula jadi.

Menurut pakar pemakanan, sayuran berdaun hijau diperkaya dengan provitamin A dan dapat membantu mengurangkan masalah rabun malam.

Ulam juga membantu mengurangkan risiko menghidap penyakit seperti barah sekali gus membantu meningkatkan sistem imun badan agar tidak mudah dijangkiti penyakit.

Hari ini, trend kesihatan moden mula meniru semula gaya makan lama dengan nama baru seperti superfood, detox salad atau organic raw greens.

MENARIK DIBACA:Ada sebab bawang dan kentang tak boleh disimpan bersama, ikut tip ini elak cepat rosak

MENARIK DIBACA:Satu gigitan cair di dalam mulut, keenakan putu piring memang tak boleh tolak

Tunggu sekejap, sebelum anda bergegas keluar membeli ulam, ketahui terlebih dahulu khasiatnya.

Berikut adalah 6 jenis ulam popular boleh anda amalkan sebagai pelengkap sajian.

Kacang botol juga enak dijadikan sebagai ulam kerana tekstur rangup.

1. Kacang botol

Turut dikenali sebagai kacang botol atau kacang sirek, ulam ini antara sayuran terbaik untuk berdiet.

Menurut kajian, kacang botol dapat mengurangkan sakit kepala atau migrain.

Kacang botol juga dapat mengatasi masalah sukar tidur atau tekak loya dan mengawal paras gula dalam darah serta membantu tingkatkan imuniti.

Diperkaya dengan vitamin A dan C, kacang botol dapat mengelak daripada jangkitan penyakit.

Paling menarik, ulam itu juga mengandungi bahan anti oksidan tinggi membantu menghindari sel daripada radikal bebas.

Ia sesuai untuk dinikmati semua peringkat usia dan baik untuk kuatkan sistem imun anak-anak.

Daun kesum juga digunakan sebagai ulam dalam masakan.

2. Daun kesum

Daun kesum juga digelar daun cenohom atau dikenali sebagai rau rau di Vietnam.

Daun kesum boleh digunakan sebagai ramuan ulam atau bahan sampingan untuk sajian seperti laksa dan bahan dalam kuah asam pedas.

Diperkaya dengan bahan beta karotena, daun itu dikatakan dapat menghilangkan masalah rambut seperti kelemumur dan masalah penghadaman.

Bunga telang juga tinggi dengan khasiat.

3. Bunga telang

Tanpa bunga telang, maka tidak lengkaplah nasi kerabu.

Penggunaan bunga telang lazimnya dikenali sebagai penyeri warna ungu kebiruan untuk sajian Pantai Timur itu.

Disamping untuk masakan, bunga ini sebenarnya amat popular dalam perubatan tradisional India atau Ayurveda.

Ia dijadikan tonik otak dan dipercayai dapat memperbaiki memori dan bunga telang juga boleh dimakan mentah sebagai ulam.

Menurut kajian, bunga ini boleh merawat gigitan serangga dan penyakit kulit juga boleh menyembuhkan radang.

Mirip daun sirih, tapi daun kaduk tidak menjalar sebaliknya tumbuh di permukaan tanah.

4. Daun kaduk

Mirip daun sirih, tapi tumbuhan ini tidak menjalar sebaliknya tumbuh di permukaan tanah.

Bagi gemarkan sajian Thailand, anda mungkin kenal daun kaduk digunakan sebagai pembalut makanan seperti Miang Kham.

Daun ini juga digunakan dalam masakan lokal sebagai pembalut otak-otak.

Rasanya sedikit pahit, tetapi dipercayai mempunyai manfaat untuk menurunkan kadar kolesterol, mengatasi masalah sembelit, sakit tulang belakang dan sakit gigi.

Daun kadok mengandungi flavonoid dan fenol membantu melawan radikal bebas dan mengurangkan keradangan.

Sekali padang cekur kelihatan seperti halia.

5. Cekur

Sekali padang seperti halia tapi Cekur atau nama saintifik Kaempferia galanga adalah tumbuhan herba banyak digunakan dalam masakan tradisional dan perubatan Melayu serta Ayurveda.

Di Indonesia, cekur juga dikenali sebagai kencur, digunakan untuk membantu mengurangkan masalah sakit sendi dan otot.

Ia juga kerap digunakan sebagai bahan dalam minyak urut atau param, terutamanya bagi wanita selepas bersalin.

Selain itu, air rebusan cekur diminum untuk membantu merawat masalah pencernaan, mengurangkan angin dan kembung. Daunnya pula boleh dibuat ulam, urap, kerabu dan pecal.

Tenggek burung tinggi dengan khasiat antioksidan.

6.Tenggek burung

Tenggek burung sejenis ulam hutan tumbuh liar di kawasan kampung dan hutan belukar, terutama di Pantai Timur.

Daunnya kecil, berbau wangi sedikit seperti serai dan limau purut selalu dimakan mentah bersama nasi serta sambal belacan.

Ulam ini diberi nama kerana burung suka bertenggek dan makan buah pokok berkenaan tapi ada juga orang terdahulu kata kerana tenggek burung bagus untuk tenaga batin lelaki.

Tinggi dengan khasiat antioksidan, ulam itu membantu melawan radikal bebas dan membantu mengurangkan masalah kulit.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Nutrisi

Kentut memang bau busuk, tapi makan telur setiap hari banyak manfaatnya

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Nutrisi

Boleh lupakan ubat tahan sakit, teh halia penawar semula jadi masalah senggugut

Terhangat