Ada sebab bawang dan kentang tak boleh disimpan bersama, ikut tip ini elak cepat rosak
BAWANG dan kentang adalah dua bahan asas yang sudah pasti akan ada dimana-mana dapur rumah.
Tapi perasan tak kalau bawang dan kentang disimpan bersama dalam satu bekas, kedua-duanya akan cepat rosak?
Walaupun kedua-dua sering digunakan bersama, bahan ini tidak sesuai disimpan bersebelahan kerana saling mempengaruhi dan menyebabkan ia rosak.

Salah satu sebab utama adalah kerana bawang menghasilkan gas etilena, sejenis hormon tumbuhan bertindak sebagai perangsang pematangan.
Gas ini boleh merangsang kentang untuk bertunas dengan lebih cepat, sekali gus membuat kentang menjadi keras dan kurang sesuai untuk dimakan.
Kentang sudah bertunas biasanya mengandungi toksin yang boleh membahayakan kesihatan jika dimakan.
MENARIK DIBACA: Tindakan beri gelandangan tulang ayam tiada hati perut, influencer perjelas bukan hina tapi eksperimen sosial
MENARIK DIBACA: Masih terasa keenakan bihun goreng makcik kantin, rupanya ini rahsia buat ramai terkenang-kenang

Sebaliknya, kentang mengeluarkan kelembapan dan gas tertentu boleh membuat bawang menjadi lembik dan mudah berkulat.
Oleh itu, bagi mengekalkan kualiti dan kesegaran bawang serta kentang, disarankan supaya menyimpannya secara berasingan.
Bawang sebaiknya disimpan di tempat kering, sejuk dan mempunyai pengudaraan baik agar tidak cepat lembap.
Tempat penyimpanan bawang yang ideal biasanya gelap dan pengudaraan baik seperti dalam jaring atau bekas berlubang.

Kentang pula perlu disimpan di tempat gelap, sejuk dan juga pengudaraan baik untuk mengelakkan pertumbuhan tunas dan pembusukan.
Elakkan menyimpan kentang dalam peti sejuk kerana suhu terlalu sejuk boleh mengubah rasa dan teksturnya.
Cara penyimpanan yang betul ini dapat membantu mengekalkan kesegaran bawang dan kentang supaya tahan lebih lama.