Jangan asal rasa masin, jom kenali 7 jenis garam tingkatkan kesedapan masakan anda
DALAM dunia masakan, garam adalah bahan asas penting dapat mengangkat rasa masakan. Pun begitu, garam juga boleh jadi elemen perosak sesuatu hidangan.
Ramai beranggapan asalkan masin, boleh saja digunakan dalam masakan sedangkan ada pelbagai jenis garam dengan rasa, tekstur dan kandungan mineral serta fungsi berbeza.
Dengan memahami jenis-jenis garam, sebenarnya dapat tingkatkan rasa dan kualiti masakan secara drastik.

Jadi selepas ini, sebelum capai garam fikir dulu kegunaan garam bersesuaian mengikut jenis masakan.
Jom kenali 7 jenis garam biasa digunakan dalam masakan dan kegunaan harian supaya tak tersalah guna.

1. Garam meja (Table salt)
Inilah garam paling biasa ditemui di rumah. Halus, putih dan mudah larut.
Ia biasanya diproses tinggi dan mengandungi bahan tambahan seperti agen anti-gumpalan serta iodin.
Walaupun sesuai untuk kegunaan harian, garam ini kurang sesuai untuk teknik memasak memerlukan tekstur tertentu kerana sifatnya terlalu halus.
Garam meja lebih sesuai digunakan dalam masakan harian, membakar dan sebagai penambah pada rasa makanan.

2. Garam Laut (Sea salt)
Diperoleh melalui penyejatan air laut, garam laut mengekalkan lebih banyak mineral semula jadi seperti magnesium dan kalsium.
Garam itu lazimnya kurang diproses berbanding garam meja, jadi teksturnya lebih kasar dan berbeza mengikut tempat asalnya.
MENARIK DIBACA : Murah dan mesra alam, halau lalat dengan air rendaman kulit pisang
MENARIK DIBACA : Langsung tak terfikir cara ini... Wanita kongsi tip kalau gas habis, 2 bahan bantu memasak ketika ‘darurat’
Keaslian rasa garam itu memberikan dimensi tambahan pada makanan menjadikannya pilihan popular untuk masakan gourmet.
Ia juga sesuai digunakan sebagai taburan terakhir (finishing) salad atau makanan laut.

3. Garam bukit / Garam Himalaya
Dikenali dengan warna merah jambu semula jadinya, garam berasal dari kawasan lombong garam pegunungan Himalaya.
Garam sering di promosi sebagai garam sihat ini tidak melalui proses pelunturan seperti garam meja.
Ia juga mengandungi lebih 80 jenis mineral semula jadi termasuk kalsium, magnesium, dan kalium.
Lebih garam itu juga lebih ringan dan kurang masin berbanding garam biasa malah ada berpendapat rasanya bermineral tapi sangat halus.
Garam itu sesuai digunakan dalam masakan harian, perapan dan sebagai hiasan makanan.
Kelebihan kandungan khasiat garam itu dalam bentuk blok garam juga popular untuk memanggang atau sebagai garam mandi atau spa.

4. Garam Fleur de Sel
Garam ini adalah garam laut dikutip secara manual dari permukaan kolam penyejatan air laut, biasanya di kawasan pesisir Perancis seperti Brittany.
Fleur de Sel bermaksud bunga garam dalam bahasa Perancis.
Garam premium ini sangat halus, lembap dan mengandungi rasa mineral unik.
Oleh kerana harganya mahal, ia hanya digunakan sebagai taburan terakhir pada hidangan mewah seperti stik, pencuci mulut atau sayur-sayuran panggang, bukan dalam masakan.
Garam ini juga tak sesuai untuk memasak kerana mudah cair dan hilang teksturnya unik.

5. Garam kosher
Garam ini mempunyai tekstur kasar dan tidak mengandungi iodin.
Disebabkan butiran kasarnya, ia mudah dikawal semasa memasak dan digunakan ramai chef profesional.
Garam itu lebih sesuai untuk memasak daging, perapan, atau ketika anda mahu kawalan rasa yang lebih tepat.

6. Garam serpihan (Flaky salt)
Ciri-ciri garam ini biasanya lebih ringan, nipis persis kepingan kristal dengan tekstur rangup dan larut perlahan di lidah.
Garam ini lazimnya digunakan sebagai taburan akhir pada hidangan seperti salad, telur, stik kerana ia memberikan rasa masin lembut.
Namun, di Malaysia tidak banyak jenama tempatan menghasilkan garam ini dan digantikan dengan penggunaan garam laut kasar dihancurkan sedikit.

7. Garam trufel (Truffle salt)
Disebabkan harganya tinggi dan rasanya kuat, garam ini digunakan dengan cermat dan antara garam premium.
Garam Trufel adalah gabungan antara garam laut berkualiti tinggi dengan serpihan atau perisa trufel – sejenis kulat bawah tanah sangat bernilai dalam dunia kulinari.
Garam ini selalunya diperbuat dengan trufel hitam atau putih, bergantung kepada jenis dan jenama.
Rasa garam ini lebih tinggi aroma jadi ia digunakan dalam kuantiti sedikit dan sesuai untuk sentuhan gourmet atau pasta, popcorn dan risotto.