Jenis ikan bilis boleh jejas rasa sambal tumis, badan jalur biru dan hijau paling premium
ROSAK selera kalau sambal ikan bilis dimasak bertukar pahit, sedangkan resipi tersebut dikongsi ibu mertua.
Nampak macam remeh tapi ramai tak sedar punca sambal bertukar pahit disebabkan kesilapan memilih ikan bilis.
Jenis ikan bilis memainkan peranan dalam penghasilan sambal yang cukup rasa selain mengekalkan kerangupannya walaupun selepas beberapa hari.
Sebenarnya terdapat beberapa petua boleh diamalkan ketika memilih ikan bilis untuk memastikan hasil sambal lebih wangi dan sedap.

1. Ikan bilis warna jernih
Ikan bilis dengan warna jernih biasanya lebih segar dan kualitinya lebih baik malah baunya kurang menyengat dan sesuai dimasak sambal.
Teliti juga bahagian badan ikan bilis, jika terdapat jalur biru atau hijau, kategori ikan ini lebih premium.
MENARIK DIBACA: Sama tapi tak serupa, warna cili benggala berbeza rasa dan tekstur
MENARIK DIBACA: Kena cuba resipi air soda laici, rasa pedas manis menyegarkan tekak
Ikan segar memberikan hasil rangup apabila digoreng dengan rasa ringan dan tidak mudah pahit.

2. Elak ikan bilis coklat gelap
Elak memilih kategori kuning atau coklat gelap kerana ia biasanya sudah lama terdedah kepada udara.
Ikan bilis dari rona gelap selalunya menghasilkan rasa lebih tajam dan cenderung menghasilkan rasa pahit apabila ditumis.
Elak juga memilih ikan bilis terlalu bersih kerana dikhuatiri ia direndam dalam bahan pemutih.

3. Bau seakan laut
Ikan bilis segar lazimnya meninggalkan bau masin air laut secara semula jadi bukan hapak, masam atau kuat seakan-akan bau hancing atau amonia.
Jika ikan bilis menghasilkan bau ini, tandanya ia sudah lama atau melalui proses pengeringan tidak sempurna.

4. Tekstur kering, tidak melekit
Cuba pegang ikan bilis yang ingin dibeli kerana jenis yang bagus lebih kering dan tidak melekit. Ia akan rangup jika digoreng.
Ikan bilis mudah patah membuktikan kandungan air rendah, lebih segar dan tahan lama kerana melalui proses pengeringan baik.

5. Ikut menu masakan
Ikan bilis dikupas lebih sesuai untuk sayur tumis manakala ikan bilis mata bulat enak dijadikan bahan stok rebusan, sup atau bubur.
Petua tambahan, pastikan buang perut supaya tak pahit dan pastikan saiz tidak terlalu besar kerana ikan bilis kecil lebih halus dan mudah garing jika digoreng.
Simpan ikan bilis dalam bekas kedap udara dan tempat sejuk agar warnanya kekal cerah dan segar.