Kesilapan biasa simpan santan kotak selepas dibuka, ada cara elak ia cepat masam
SANTAN kotak (UHT) memang praktikal dan mudah digunakan dalam pelbagai masakan seperti gulai, rendang dan masak lemak.
Ramai memilih santan kotak berbanding diparut segar kerana tidak perlu diperah dan ia lebih tahan jika tidak dibuka.
Namun, cara penyimpanan santan kotak yang salah selepas ia dibuka boleh menyebabkan santan cepat rosak.
Berikut beberapa tip dan petua penting untuk memastikan santan kotak kekal segar dan selamat digunakan.

1. Simpan ikut keadaan santan
Belum dibuka
Santan kotak boleh disimpan pada suhu bilik dan tahan lama selagi tarikh luput belum tamat.
Elakkan daripada meletakkan di tempat panas atau terdedah kepada cahaya matahari.
Selepas dibuka
Santan perlu disimpan di dalam peti sejuk dan sebaiknya digunakan dalam tempoh 3 hingga 5 hari.

2. Tukar ke bekas bertutup
Selepas dibuka, jangan simpan santan terus dalam kotak asal.
Tuangkan ke dalam bekas bersih dan bertutup rapat bagi mengelakkan pencemaran dan bau daripada makanan lain dalam peti sejuk.

3. Gunakan peralatan bersih
Pastikan sudu atau senduk yang digunakan sentiasa bersih dan kering.
Elakkan mengambil santan terus dari bekas menggunakan tangan atau sudu yang telah digunakan untuk bahan lain.

4. Boleh dibekukan jika tidak habis
Jika santan tidak digunakan dalam masa terdekat, ia boleh disimpan di dalam freezer. Santan beku boleh tahan sehingga 1–2 bulan.
Bahagikan kepada sukatan kecil supaya mudah digunakan bila perlu.

5. Tekstur berketul tidak semestinya rosak
Santan yang disimpan dalam peti sejuk atau freezer kadang-kadang akan berketul dan ia adalah perkara normal.
Panaskan perlahan sambil dikacau, tekstur biasanya akan kembali elok semasa dimasak.