Sama tapi tak serupa, warna cili benggala berbeza rasa dan tekstur
BAGI mereka yang belajar masak mesti pernah tertanya-tanya, kenapa lada benggala ada banyak warna?
Ada yang berwarna hijau, kuning, oren, dan merah, namun kesemuanya mempunyai rasa, tekstur dan kegunaan berbeza dalam masakan.
Bila tahu bezanya, bukan saja masakan jadi lebih sedap, malah boleh jimat masa dan bahan.
Jom kenal satu per satu warna benggala serta fungsinya.

1. Lada benggala hijau
Lada benggala hijau adalah yang paling muda. Rasanya sedikit pahit dan lebih 'tajam' berbanding warna lain.
Ia sesuai untuk tumisan ringkas, nasi goreng serta masakan berkuah dan berempah.
Teksturnya lebih keras, jadi ia tak cepat lembik walaupun dimasak lama.

2. Lada benggala kuning
Bila lada benggala mula matang, rasa pahitnya berkurang dan diganti dengan rasa sedikit manis.
Ia sesuai untuk pasta, stir-fry ringkas atau masakan ala barat.
Kalau mahu bereksperimen dengan menu, warna kuning ini selamat digunakan kerana rasanya tak melebihi bahan lain.

3. Lada benggala oren
Lada benggala oren ada rasa manis yang lebih jelas, tapi masih segar dan ringan.
Ia sesuai untuk salad, wrap dan sandwich serta masakan menggunakan api besar.
MENARIK DIBACA: Hanya 2 ulas bawang putih, cili tahan lebih lama dalam peti sejuk
MENARIK DIBACA: Kena cuba resipi pasta ayam pesto basil, sedap dan mengenyangkan!
Kalau jenis suka masak cepat-cepat tanpa banyak perencah, lada benggala oren boleh berikan rasa sedap secara semula jadi.

4. Lada benggala merah
Ini versi paling matang, paling manis dan paling lembut.
Ia sesuai dimasukkan dalam salad atau dihidang mentah, tumisan ringkas serta masak menggunakan oven atau air fryer.
Disebabkan rasanya yang manis semula jadi, lada benggala merah boleh kurangkan keperluan gula atau sos tambahan dalam masakan.