Dikecam, Kek Lapis Sultan RM1,800 terus dapat sambutan - "Kalau cinta, pasti takkan berkira"
KEK lapis Sarawak antara sajian pencuci mulut yang sering menjadi tumpuan sempena Aidilfitri, terkenal dengan variasi rasa dan lapisan yang cantik.
Bagainanapun kek premium dikenali sebagai Kek Lapis Sultan mencuri perhatian apabila dijual pada harga RM1,800 bagi satu loyang.
Manakala saiz ‘bitesize’ pula dijual pada harga RM9.50, membuatkan ramai terkedu malah ada yang menyifatkan harga tersebut tidak masauk akal.
Tenang berdepan kecaman, pengusaha perniagaan ini, Adhar Brahim mengakui harga keknya mungkin sedikit 'keras', tetapi yakin kualitinya setanding dengan apa yang dibayar oleh pelanggan.

“Saya akui ada yang kecam dan mengatakan kek saya tak sesuai dengan harga. Mungkin bagi sesetengah orang anggap ia mahal.
"Kalau anda seorang pencinta kek, saya pasti anda tidak akan berkira kerana anda hargai rasa dan kualiti kek kami," katanya ketika dihubungi Kuali.
Kek Lapis Sultan yang dihasilkan Adhar terdiri daripada 10 lapisan perisa premium, termasuk biscoff, chocolate callebaut, pistachio, dan cream cheese, menjadikan harganya lebih tinggi daripada kek lapis biasa.
Tambah pemuda berusia 38 tahun itu lagi, sasaran pembeli adalah mereka yang bercita rasa mewah dan menghargai kualiti sama sepertinya.
MENARIK DIBACA: Suami tak izin berlakon, Shima Anuar cuba nasib jual kek lapis pandan... Tak menang tangan!
MENARIK DIBACA: Dari manok pansuh hingga kek lapis, Serumpun Sarawak hidang sajian autentik Bumi Kenyalang
"Saya buat kek ini untuk orang yang berkongsi cita rasa sama macam saya. Kalau orang suka kek saya makan, saya pasti mereka juga akan jatuh cinta dengan Kek Lapis Sultan," jelasnya.
Anak jati Kota Samarahan ini memulakan perniagaan kek sejak 2010 dan kini menguruskan kedainya, Abg K’ju Cake House, yang terletak di Kota Samarahan, Sarawak.
Menganggap ia sebagai lumrah dalam dunia perniagaan, Adhar enggan ambil pusing kata-kata kecaman masyarakat.
Sebaliknya, fokus utamanya adalah untuk memuaskan hati setiap pelanggan yang datang ke kedainya.
Saya buat kek ini untuk orang yang berkongsi cita rasa sama macam saya
ADHAR BRAHIM
Pengusaha kek
“Bagi saya, normal bagi mereka yang terlibat dalam dunia F&B ada yang suka dan ada yang tidak.
"Hanya mereka yang berniaga sahaja faham kos hasilkan satu loyang kek. Bagi saya asalkan pelanggan puas hati," ujarnya.
Bercerita lanjut, Adhar menjelaskan penciptaan Kek Lapis Sultan ini mengetengahkan gabungan bahan premium dan teknik pembuatan yang teliti.
Jelasnya, setiap lapisan kek disusun dengan cermat bagi memastikan keseimbangan tekstur dan rasa.

"Kek lapis kami lebih mahal kerana kami gunakan bahan-bahan premium macam 'pure butter' dan kebanyakan diimport.
"Untuk Kek Lapis Sultan ini sahaja, saya gunakan 1kg mentega. Selain itu dari segi keaslian rasa berbeza dengan kek lapis lain.
"Kita ambil masa dalam lapan jam lebih untuk satu loyang termasuk dari proses sediakan bahan, mengadun dan membakar yang panjang," kongsinya.
Meskipun teruk dikecam, Adhar besyukur sambutan diterima cukup meriah, malah kek lapis ini mempunyai peminat tersendiri.