Pengunjung Jalan TAR terkedu tengok 2 wanita Muslim warga asing makan secara terbuka, beri alasan uzur
TULAR satu hantaran di media sosial yang memaparkan kisah dua wanita Muslim warga asing makan secara terbuka pada waktu siang di bulan Ramadan.
Menerusi perkongsian seorang individu di laman Threads, dia mendakwa situasi itu dilihat ketika berehat sebentar berhampiran premis Semua House selepas membeli-belah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Menurutnya, kira-kira jam 2.30 petang, dia ternampak dua wanita Muslim dan bertudung dipercayai dari negara jiran duduk santai sambil makan serta minum di khalayak.
Pada awalnya dia tidak menyedari perbuatan mereka sehinggalah ternampak orang ramai yang lalu-lalang menunjukkan reaksi terkejut apabila memandang kedua-dua wanita itu.
“Pada mulanya saya tak perasan, tapi lama-lama nampak orang yang lalu semua tengok mereka makan dengan muka terkejut.
"Mungkin mereka tak tegur sebab terlalu terkejut atau tak tahu nak kata apa, sebab ini bukan budaya kita.

“Malah ada seorang lelaki Cina yang lalu sampai dua kali menoleh sambil mencebik ke arah dua wanita Muslim itu,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Tambahnya lagi, dia bimbang tindakan itu menimbulkan persepsi negatif kaum lain terhadap umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa.
“Saya dengan mak kemudian pergi tegur secara baik. Bila ditanya, mereka kata mereka uzur. Mak saya ada beritahu walaupun uzur, sepatutnya tidak makan secara terbuka di tempat awam.
“Mereka jawab di negara mereka perkara itu dibenarkan. Mak saya cakap ini peraturan Malaysia dan sepatutnya menyelidik dahulu budaya serta peraturan di negara orang, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan,” jelasnya.
MENARIK DIBACA: 3 kaedah cabut bulu kaki guna bahan-bahan dapur, jimat duit tak perlu 'waxing' di kedai
MENARIK DIBACA: "Orang India tak boleh makan" - Netizen harmoni selesai 'isu' bubur lambuk, siap 'offer' tolong masak
Difahamkan, selepas ditegur kedua-dua wanita tersebut meminta maaf sebelum membungkus semula makanan mereka.
Bagaimanapun, perkongsian tersebut mengundang pelbagai kecaman daripada pengguna Threads.
Ramai berpandangan bulan Ramadan perlu dihormati oleh setiap Muslim, lebih-lebih lagi ketika berada di tempat awam.
Mereka turut mengecam tindakan makan secara terbuka pada waktu siang kerana boleh menimbulkan persepsi kurang baik terhadap umat Islam yang sedang menunaikan ibadah puasa.

"Memang sama je 'skrip'nya, bila tegur mereka akan kata kat negara mereka boleh je makan terbuka di bulan puasa. Aduh tu negara kau, sekarang ni kau tengah duduk dalam negara apa? Keras kepala betullah.
"Non-Muslim kat Malaysia pun jarang nampak makan terbuka macam tu. Kalau mereka makan pun kita tak kisah sebab mereka tak diwajibkan berpuasa.
"Rasanya perlu diperketatkan undang-undang Malaysia ni, banteras 'konoha' dan sekutunya tambah-tambah bulan Ramadan. Buat malu je nanti Melayu juga terpalit sebab bangsa lain kadang tak boleh trace (kesan) pun itu 'konoha' ke Malaysian," antara komen netizen.