5 makanan ini punca ekzema makin teruk, jika tak elak boleh menggaru sampai luka
MASALAH ekzema atau juga dikenali sebagai 'dermatitis atopik' bukan sekadar menyebabkan kulit kering dan gatal malah boleh menjejaskan aktiviti harian.
Mana taknya, bagi sesetengah individu rasa gatal boleh menjadi terlalu teruk sehingga terpaksa menggaru sehingga luka dan berdarah.
Masalah gatal melampau ini boleh muncul pada bila-bila masa malah bayi dan kanak-kanak pun tak terkecuali.
Selain faktor cuaca, habuk dan tekanan, ramai tak sedar bahawa pemakanan juga boleh menjadi pencetus yang membuatkan penyakit ini semakin teruk.
Sesetengah makanan boleh menyebabkan tindak balas keradangan pada kulit lalu menyebabkan ruam, kegatalan dan kemerahan menjadi lebih parah.
Berikut lima jenis makanan yang sering dikaitkan dengan ekzema yang semakin teruk.

1. Produk tenusu
Susu, keju, yogurt dan produk berasaskan tenusu antara makanan yang kerap dikaitkan dengan 'flare-up' ekzema.
Bagi individu yang sensitif terhadap protein susu lembu, pengambilan makanan ini boleh menyebabkan tindak balas alahan yang meningkatkan keradangan pada kulit.
Jika anda sering mengalami gatal selepas mengambil produk tenusu, cuba kurangkan atau hentikan sementara untuk melihat perubahan pada kulit.

2. Telur
Telur merupakan salah satu makanan yang sering menyebabkan alahan terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Bagi mereka yang mempunyai sensitiviti terhadap telur, pengambilannya boleh menyebabkan ruam, gatal-gatal dan ekzema menjadi lebih aktif.
Jika anda mengesyaki telur adalah puncanya, boleh dapatkan nasihat doktor sebelum mengubah diet secara tiba-tiba.

3. Makanan laut tertentu
Udang, ketam dan kerang adalah antara makanan laut yang boleh mencetuskan alahan pada sesetengah individu.
Tindak balas alahan ini boleh menyebabkan kulit menjadi lebih gatal, kemerahan dan meradang sekali gus memburukkan masalah ekzema.
Kalau selepas makan makanan laut dan anda mengalami apa-apa simptom, sebaiknya hadkan pengambilannya.

4. Ikan tertentu
Sesetengah jenis ikan boleh mencetuskan reaksi alahan pada individu tertentu.
Antara ikan yang mempunyai reaksi sensitiviti ialah tuna, sardin, kembung dan tenggiri.
Kalau seseorang sensitif terhadap protein dalam ikan tersebut ia boleh menyebabkan kegatalan dan ruam ekzema menjadi lebih teruk.
Namun begitu, ikan juga kaya dengan asid lemak Omega-3 yang baik untuk kesihatan kulit, jadi tak semua pesakit ekzema perlu mengelakkan ikan sepenuhnya.

5. Makanan tinggi gula dan diproses
Makanan seperti kek, biskut, minuman manis serta makanan segera mengandungi gula tinggi, bahan pengawet dan bahan tambahan.
Pengambilan berlebihan boleh meningkatkan keradangan dalam badan dan menyebabkan simptom ekzema menjadi lebih aktif.
Kesimpulan
Walaupun tidak semua pesakit ekzema akan bertindak balas terhadap makanan yang sama, mengenal pasti makanan 'pencetus' adalah langkah penting untuk mengawal simptom dan keadaan bertambah teruk.
Jika anda sering mengalami ekzema kronik, cuba catat makanan yang diambil setiap hari untuk mengenal pasti apa yang perlu dielakkan.
Pada masa sama, dapatkan nasihat daripada doktor atau pakar pemakanan sebelum membuat apa-apa perubahan diet.
Dengan penjagaan kulit yang betul dan pemakanan terkawal, simptom ekzema boleh dikawal supaya tidak mengganggu kualiti hidup.