Tak payah guna minyak, ini cara buat bawang goreng rangup dan sihat
BAWANG goreng sering menjadi pelengkap penting dalam pelbagai hidangan seperti nasi lemak, bubur, sup dan mi.
Namun kebiasaannya penghasilan bawang goreng memerlukan minyak banyak dan menjadikan penyedap hidangan ini kurang sihat jika diambil secara berlebihan.
Sebenarnya, ada cara mudah boleh hasilkan bawang goreng tanpa minyak tetapi memiliki kerangupan maksimum bahkan enak diratah begitu sahaja.

Antara kunci utama untuk menghasilkan bawang goreng tanpa minyak adalah pemilihan bawang merah yang betul merah bersaiz sederhana kerana kandungan air seimbang bahkan mudah garing apabila dipanaskan.
Ada lagi rahsia lain untuk menghasilkan bawang goreng tanpa minyak dan berikut adalah cara penyediaan boleh diikuti:

Hiris nipis dan sekata
Selain pemilihan saiz bersesuaian, hirisan bawang juga memainkan peranan dalam menghasilkan bahan ini yang rangkup.
Hirisan bawang nipis dan sekata memudahkan proses pengeringan dan menjadikan ia rangup walaupun digoreng tanpa minyak.

Rendam dalam air suam
Selepas dihiris, bawang boleh direndam seketika dalam air suam selama 15 minit.
Cara ini membantu mengurangkan rasa pedih serta mengeluarkan lebihan kanji, sekali gus menjadikan bawang lebih cantik dan tidak mudah hangus.

Boleh guna ketuhar, air fryer atau kuali
Bagi proses memasak, adalah lebih mudah menggunakan ketuhar.
Susun hirisan bawang di atas dulang pembakar dialas kertas pembakar, kemudian bakar pada suhu rendah sekitar 150 darjah celcius selama 30 minit sambil dikacau sekali-sekala.
Boleh juga gunakan air fryer dengan ketetap suhu antara 140 darjah Celsius hingga 160 darjah Celsius dan masak 20 minit sehingga bawang bertukar keperangan.
MENARIK DIBACA: Ada 5 petua pilih bawang, penentu keenakan masakan
MENARIK DIBACA: Elak melekat dan lembik, rebus mi laksa pun ada teknik
Jika mahu guna kuali, boleh sangai tanpa minyak tetapi pastikan api kecil dan kacau secara berterusan supaya bawang kering perlahan-lahan tanpa hangus.
Perhati perubahan warna kerana khuatir bawang mudah bertukar menjadi lebih gelap selepas dikeluarkan daripada haba.

Simpan dalam bekas kedap udara
Biarkan bawang sejuk sepenuhnya sebelum disimpan. Proses penyejukan ini akan menjadikan bawang lebih rangup secara semula jadi tanpa perlu sebarang minyak tambahan.
Simpan bawang goreng tanpa minyak dalam bekas kedap udara dan letakkan di tempat kering agar dapat tahan lebih lama dan sihat.