11 tip memasak pernah dikongsi artis, chef... Peminat ingat dan amalkan sampai sekarang
MEMASAK bukan sahaja perlu ada minat dan pengetahuan, tetapi juga tip tertentu agar hidangan yang dimasak lebih sedap dan sempurna.
Terdapat banyak tip atau petua masakan yang boleh kita praktikkan ketika memasak, tak kiralah diperolehi daripada internet, tukang masak, ibu atau rakan-rakan.
Chef serta artis juga sering berkongsi tip memasak dan semestinya perkongsian golongan ini lebih diingati malah dipraktikkan oleh ramai peminat atau pengikut masing-masing.

Seperti yang dikongsikan seorang pengguna Threads bernama Ezzyan, dia memberitahu mengamalkan tip masakan yang diperoleh daripada perkongsian dua artis ternama, Allyarham Siti Sarah Raisuddin dan Sheila Rusly.
Perkongsian tersebut sekali gus menarik perhatian netizen apabila ramai berkongsi petua dan tip dapur yang diperoleh sama ada daripada artis atau chef.
Jom Kuali senaraikan beberapa petua masakan yang pernah dikongsikan selebriti atau chef dan menjadi ikutan ramai sehingga hari ini.

1. Allahyarham Siti Sarah Raisuddin
Berselawat dan berdoa - "Ya Allah masukkanlah Iman ke dalam hati orang yang makan masakan ku ini." Tujuannya agar orang yang makan masakannya itu sentiasa diberikan keimanan dalam hidup.
Ayam masak kicap letak kurma, tetapi amalan ini lebih kepada cita rasa arwah sendiri yang menganggap dalam masakan tiada istilah betul atau salah, janji sedap!

2. Sheila Rusly
Pengarah, penerbit dan pelakon Shiela Rusly yang terkenal dengan program masakan, Ketuk-Ketuk Ramadan tidak perlu dipertikaikan lagi kemahirannya memasak di dapur.
Salah seorang netizen berkongsi bahawa, dia masih mengamalkan petua dan tunjuk ajar Sheila supaya meletakkan sedikit gula pada masakan yang menggunakan sos tiram.
Ujarnya, dua bahan itu tidak boleh dipisahkan kerana rasa masakan akan 'lari'. Petua tersebut turut dipersetujui oleh seorang lagi netizen apabila mendakwa tip yang dikongsikan Sheila ternyata benar, malah masakannya menjadi lebih sedap.
MENARIK DIBACA: Senang sangat! Tak sampai 10 minit ayam goreng kunyit siap, tambah telur mata dan kicap lagi sedap
MENARIK DIBACA: [V] Isyariana cerewet bab makan - "Saya tak boleh telan kalau tak sedap walaupun tengah lapar"

3. Datuk Seri Siti Nurhaliza
Seorang netizen lain pula berbahagi petua yang pernah dikongsikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tentang ikan sardin.
Menurutnya, ketika Siti menyiapkan masakan berupa sambal sardin, penyanyi tersohor itu menggoreng terlebih dahulu ikan sardin, sebelum dimasak sambal.
Tujuannya supaya ikan sardin tidak menjadi hancur, malah menbantu menghilangkan bau hanyir.

4. Datuk Chef Wan
Ujar salah seorang pengguna Threads, Chef Wan pernah berkongsi tip jika mahu tahu sama ada cili sudah masak atau tidak semasa ditumis.
Caranya, angkat sedikit cili di atas sudip. Kalau cili tersebut masih menggelegak di atas sudip, itu tandanya cili tersebut sudah masak sepenuhnya dan masukkan bahan-bahan lain sebelum sambal tumis siap untuk dihidangkan.
Dalam perkongsian berbeza, Chef Wan turut berkongsi tip jika mengguakan asam keping bagi mengantikan air asam jawa.
Katanya jika mahu menggunakan asam jawa, bahan itu perlu dibiarkan seketika dalam masakan selama lebih kurang 10 minit supaya rasa masamnya sebati dalam masakan.
Jika rasa terlalu awal selepas asam keping dimasukkan, rasa masam belum sebati sepenuhnya dan kita akan cenderung untuk tambah lagi asam keping. Akhirnya masakan jadi terlalu masam sehingga tidak boleh lagi dimakan.
Satu lagi perkongsiannya, jika mahu masukkan daun limau purut perlu dibuang batangnya supaya masakan tidak pahit.
Untuk mendapatkan ayam goreng yang sedap, salut dengan telur sebelum menggoreng.

5. Chef Zaidah
Seorang lagi cef terkenal iaitu Chef Zaidah juga berkongsi tip masakan ringkas yang boleh diamalkan.
Kata mahu masakan betul-betul sedap, pastikan bahan seperti bawang atau rempah ditumis sehingga naik bau.
Proses ini membuang bau mentah bahan, menaikkan aroma wangi, dan menghasilkan rasa masakan yang lebih sedap, harum, serta merangsang selera.

6. Datuk Rizalman Ibrahim
Pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim juga ada berkongsi tip memasak untuk diamalkan jika menggunakan lesung batu atau blender.
Kongsinya, selepas menggunakan alatan dapur itu, masukkan sedikit air supaya sisa-sisa bahan yang dikisar yang melekat masuk semuanya ke dalam periuk.
Kata Rizalman, ibunya berkata di dalam rezeki seseorang itu tidak tahu mana yang berkat dan kemungkinan sisa dari lesung batu atau blender itu yang memiliki keberkatannya.

7. Lisdawati dan Fauzi Nawawi
Seorang pengguna Threads berkongsi tip masakan yang pernah dikongsikan pasangan pelakon, Lisdawati dan suaminya, Fauzi Nawawi.
Katanya, Lisdawati pernah menghasilkan resipi sambal udang petai menggunakan cili besar merah agar masakannya tidak berasa pedas.
Namun, jika cili yang digunakan itu pedas, Lisdawati menyarankan supaya masukkan potongan tomato atau lebihkan bawang untuk mengurangkan rasa pedas tanpa memasukkan gula.