[V] Kek coklat mochi guna tepung pulut hasilkan tekstur 'chewy', puas makan!
APA sahaja sajian dengan elemen liat (chewy) ala mochi memang sedang trending dalam dunia pencuci mulut.
Tidak hairanlah kini muncul banyak snek bertekstur kenyal dan 'chewy' termasuklah kek coklat mochi yang dikongsikan oleh pengguna TikTok @matchabae019.
Penggunaan tepung pulut memberikan tekstur kenyal manakala serbuk koko dan cip coklat gelap pula memberikan rasa coklat yang lebih kuat dengan rasa sedikit pahit dan manis seimbang.
"Saya dah pernah buat guna resipi ni dan memang sedap gila! Chocolatey dia 'ngam', tak manis sangat, ada rasa pahit-pahit sikit dari dark chocolate yang buat rasa lagi balance," katanya.

Berikut dikongsikan resipinya:
Bahan-bahan
- 1 biji telur
- 35 gram gula pasir
- 1/4 sudu teh garam
- 1/2 sudu teh esen vanila
- 225ml susu cair
- 30ml minyak sayuran
- 220 gram tepung pulut
- 20 gram serbuk koko
- 1 sudu teh serbuk penaik
- Cip coklat gelap secukupnya
MENARIK DIBACA: Dari filem ke meja makan... Ketahui sejarah kek gergasi Matilda, kaya rasa coklat premium
MENARIK DIBACA: Dubai Chewy Cookie jadi fenomena di Korea Selatan, pelanggan sanggup beratur berjam-jam
Cara penyediaan
- Pukul telur bersama gula pasir, garam dan esen vanila hingga sebati.
- Masukkan susu cair dan minyak sayuran, kemudian pukul sehingga adunan sedikit kembang.
- Tambahkan tepung pulut, serbuk koko dan serbuk penaik. Kacau hingga adunan licin tanpa berketul.
- Tuang separuh adunan ke dalam loyang yang telah disapu sedikit minyak atau dialas kertas pembakar.
- Taburkan cip coklat gelap di atas adunan.
- Tuang baki adunan sehingga menutupi lapisan cip coklat.
- Taburkan lagi cip coklat gelap di bahagian atas sebagai 'topping'.
- Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 180 darjah Celsius selama 35 minit atau sehingga masak.