Perap guna susu rahsia ayam goreng rangup, isi berjus ala restoran 'fast food'
SIAPA yang tak menggemari ayam goreng berempah, berkulit rangup dan garing seperti ayam goreng di restoran segera terkenal?
Bagaimanapun tidak semua individu mampu untuk menikmatinya setiap hari kerana faktor harga, begitu juga keluarga yang mempunyai ahli ramai.
Sebenarnya, tidaklah susah untuk menghasilkan ayam goreng enak ala restoran makanan segera jika tahu teknik penyediaan dan bahan yang betul.
Menerusi perkongsian resipi oleh wanita dikenali dhyea_hana, rahsia keenakan ayam goreng ini terletak pada penggunaan beberapa bahan istimewa termasuk bancuhan susu penuh krim.
Berbeza dengan resipi biasa yang hanya menggunakan bancuhan tepung, campuran susu penuh krim dalam bahan perap membantu menghasilkan tekstur ayam yang lebih lembut, berjus sekali gus menjadikannya mudah melekat pada permukaan ayam sebelum disalut tepung.
Berikut dikongsikan resipinya:

Bahan-bahan
Bahan A (perapan ayam)
- 1 cawan susu penuh krim
- 1 sudu serbuk cili
- 1 sudu kicap manis
- 1 sudu setengah bawang putih tumbuk (lebih kurang 4 ulas)
- 1 sudu serbuk paprika
- 1 sudu oregano
Bahan B (salutan tepung)
- Tepung gandum secukupnya
- Tepung jagung secukupnya
- Garam secukup rasa
- 1 sudu serbuk cili
- 1 sudu serbuk paprika
- 1 sudu oregano
- 1 kiub ayam
- 1 sudu kecil serbuk penaik
- 1 sudu kecil lada hitam
MENARIK DIBACA: Wanita kongsi minum air sarsi bantu legakan demam, ramai mengaku dah berzaman amal petua sama
MENARIK DIBACA: Pemuda dedah bahaya cili kering berdebu, berkulat! Jangan 'termakan' pujuk tauke kedai
Cara penyediaan
- Bersihkan ayam dan gaulkan bersama semua bahan A sehingga sebati.
- Perapkan ayam. Lagi lama diperap, lagi meresap rasa ke dalam isi ayam.
- Dalam bekas berasingan, campurkan semua bahan B untuk menyediakan salutan tepung.
- Ambil ayam yang telah diperap, kemudian salutkan dengan campuran tepung sehingga rata.
- Untuk mendapatkan kulit yang lebih rangup dan bertekstur, boleh ulang proses celup ayam ke dalam bahan basah dan salut tepung sekali lagi.
- Goreng ayam dalam minyak yang panas sehingga berwarna keemasan dan masak sepenuhnya.