Ayam kukus Hainan tinggi protein... Menu diet enak, nak buat pun mudah!
BOSAN dengan ayam yang dimasak cara sama setiap hari? Apa kata cuba masak ayam kukus Hainan yang bukan sahaja mudah disediakan, malah sesuai dijadikan pilihan menu tinggi protein.
Resipi ringkas ini dikongsikan pengguna Threads, sarahshahnor, yang menunjukkan cara menyediakan ayam kukus berperisa menggunakan bahan-bahan asas yang mudah ditemui di dapur rumah.
Penggunaan bahan seperti bawang putih, halia, minyak bijan dan sos tiram sebagai bahan perapan memberikan aroma serta rasa yang lebih menyelerakan pada ayam.
Jadi tunggu apa lagi, cubalah resipi tinggi protein sesuai dinikmati seisi keluarga ini!

Bahan-bahan
- 180g isi dada ayam
- 1 ulas bawang putih (dicincang halus)
- 1cm halia, dihiris atau dicincang
- 1 sudu kecil minyak bijan
- 1 sudu kecil sos tiram
- 1 sudu kecil kicap cair
- 1 sudu besar daun bawang (dihiris)
- 1 sudu besar bawang goreng
- 1/2 ulas bawang putih (dicincang)
- Serbuk lada sulah secukupnya
- Sedikit garam
Langkah penyediaan
- Cucuk permukaan isi ayam menggunakan garfu atau hujung pisau supaya bahan perapan lebih mudah meresap.
- Lumur ayam dengan bawang putih, halia, minyak bijan dan sos tiram. Perap selama kira-kira 15 minit.
- Letak ayam dalam bekas tahan kukus dan kukus selama kira-kira 30 minit atau sehingga ayam masak sepenuhnya.
- Sementara menunggu ayam masak, campurkan daun bawang, bawang goreng; bawang putih cincang; kicap cair dan sedikit lada sulah dalam satu mangkuk.
- Setelah ayam masak, jangan buang air atau sos yang terkumpul dalam bekas kukusan kerana ia mempunyai rasa daripada ayam dan bahan perapan.
- Angkat ayam dan carik-carikkan menggunakan garfu atau tangan setelah agak suam.
- Masukkan ayam dicarik ke dalam campuran daun bawang tadi.
- Tuangkan semula sedikit sos daripada bekas kukusan ke atas ayam dan gaul rata.
- Siap untuk dinikmati. Boleh dimakan begitu sahaja atau bersama nasi panas.