Roti goreng carbonara, tambah lazat letak keju mozarella... Satu famili pasti suka
DALAM menyediakan sajian untuk famili tersayang, golongan ibu biasanya akan memilih menu yang mudah dimasak tetapi digemari anak-anak serta ahli keluarga lain.
Sekiranya mereka memang penggemar roti dan cheese, resipi roti goreng carbonara ini boleh masuk dalam senarai untuk dicuba.
Menerusi perkongsian seorang pengguna dikenali sebagai Milla Anwar, resipi ini antara menu yang digemari kanak-kanak kerana gabungan inti carbonara berkrim dengan cheese mozzarella yang cair.
"Boleh cuba resipi ni buat dengan anak-anak. Mula-mula diaorang malu-malu sekali hadap, licin semuanya. So korang boleh cuba pula," ujarnya.
Berikut dikongsikan resipi roti goreng carbonara:

Bahan-bahan
Untuk sos carbonara:
- 250 gram daging cincang
- 2 sudu besar minyak zaitun
- 4 ulas bawang putih, dicincang
- 1 biji bawang merah kecil, dipotong dadu
- ½ batang lobak merah, dipotong dadu
- ½ tin sos carbonara
- 4 sudu besar susu cair
- 5 biji cendawan butang, dicincang
- 'Mushroom seasoning' secukup rasa
- 1 keping 'cheddar cheese'
- Serbuk lada hitam secukup rasa
Untuk roti:
- Roti putih secukupnya
- Keju mozzarella secukupnya
- Minyak untuk menggoreng
MENARIK DIBACA: Bosan dengan carbonara dan bolognese, kena cuba resipi spageti tomyam berkrim
MENARIK DIBACA: Tukar menu sihat buat anak-anak cuti sekolah ini, resipi nuget pisang sihat dan menyelerakan
Cara penyediaan
- Buat inti carbonara terlebih dahulu. Panaskan minyak zaitun dalam kuali, kemudian tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau.
- Masukkan daging cincang dan masak sehingga daging bertukar warna serta masak sepenuhnya.
- Kemudian masukkan lobak merah dan cendawan butang. Kacau sehingga semua bahan sebati dan sedikit lembut.
- Tuang sos carbonara dan susu cair. Masukkan 'mushroom seasoning', 'cheddar cheese' serta lada hitam mengikut cita rasa.
- Kacau sehingga sos menjadi pekat dan berkrim. Tutup api dan biarkan inti sedikit sejuk.
- Ambil sekeping roti putih, letakkan inti carbonara di bahagian tengah. Taburkan 'mozzarella cheese' secukupnya.
- Letakkan sekeping lagi roti di atasnya dan tekan perlahan supaya kedua-dua keping roti melekat.
- Gunakan cawan atau acuan berbentuk bulat untuk memotong roti. Tekan sekeliling bahagian tepi supaya inti tidak mudah terkeluar ketika digoreng.
- Panaskan minyak dalam kuali. Goreng roti sehingga kedua-dua bahagian bertukar keemasan dan rangup.
- Angkat dan toskan minyak. Sedia untuk dihidang.